NORAINI Saad, 45, dan anaknya Norsaliza Abdul Kadir melihat rumah mereka di Kampung Sungai Baru yang rosak teruk akibat dilanda puting beliung.
NORAINI Saad, 45, dan anaknya Norsaliza Abdul Kadir melihat rumah mereka di Kampung Sungai Baru yang rosak teruk akibat dilanda puting beliung.

Alor Setar: “Saya lihat periuk berterbangan di dalam rumah akibat dibadai puting beliung sebelum berlari keluar memanggil ayah.

“Pada masa sama, zink rumah juga berterbangan manakala alang kayu kediaman jatuh ke lantai dan terkena kaki saya. Syukur saya tidak cedera,” kata Siti Nurmaisarah Fauzi, 12, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Baru, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.45 petang kelmarin, kediaman keluarga Siti Nurmaisarah antara 69 rumah membabitkan 25 di Taman Mergong Jaya, Kampung Sungai Baru, Kuala Sungai (22), Kampung Batin, Mergong (lapan), Taman Inang (lapan) dan enam di Kampung Mergong Hilir yang rosak akibat bencana alam berkenaan.

Siti Nurmaisarah berkata, ketika kejadian, dia berada di dapur manakala dua adiknya yang berusia tiga dan tujuh tahun duduk di ruang tamu bersama nenek mereka, Sopiah Mat, 80.

Katanya, pada masa sama, abang sulungnya, Muhammad Hanif, 13, berada di luar rumah bersama bapa mereka, Fauzi Sulaiman, 43.

Ibunya, Rohana Jusoh, 38, pula sedang bekerja di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

“Sebelum kejadian, saya merancang untuk memasak mi segera dan sempat meletakkan periuk di atas dapur. Tidak lama kemudian, saya terdengar deruan angin sebelum zink tercabut satu persatu,” katanya.

Sementara itu, Rohana berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menamatkan tugas namun tidak sedap hati apabila terperangkap di dalam kesesakan lalu lintas.

“Saya kemudiannya menggunakan jalan pintas namun terkejut apabila mendapati banyak rumah kehilangan bumbung malah ada yang ranap.

“Sebaik tiba di rumah, saya terus mencari anak dan terlihat anak bongsu, Muhammad Haziq yang berusia tiga tahun dalam keadaan pucat kerana terlalu takut,” katanya.

Menurut Rohana, dia bersyukur kerana semua ahli keluarganya terselamat dalam kejadian itu walaupun keseluruhan zink rumahnya diterbangkan selain perabot rosak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 November 2014 @ 7:06 AM