KEJADIAN belalai air yang dirakam  orang ramai berhampiran Kem Lok Kawi, Putatan.
KEJADIAN belalai air yang dirakam orang ramai berhampiran Kem Lok Kawi, Putatan.
Mohd Ruzaini Zulkepli

Putatan: Seorang kakitangan awam panik seketika apabila melihat kelibat pusaran awan seakan-akan puting beliung berhampiran atas atap rumahnya di Kampung Ketiau, semalam.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, Rayner Utin, 36, mengakui terperanjat dengan insiden itu menyebabkannya memecut kenderaan untuk melarikan diri.

“Ketika kejadian, saya baru saja pulang ke rumah ketika waktu rehat bagi mengambil anak untuk menghantar mereka ke sekolah.

“Ketika mahu keluar dari rumah, tiba-tiba saya terlihat satu kepulan awan seakan-akan puting beliung di atas atap rumah. Tanpa berlengah lagi, saya menghidupkan enjin kereta lalu memecut laju kerana bimbang keselamatan saya dan anak, ” katanya.

Sementara itu, Pengarah Meteorologi Sabah, Azemi Daud ketika dihubungi mengesahkan senario itu sebenarnya adalah fenomena belalai air dan bukannya puting beliung seperti yang disebarkan menerusi media sosial.

“Fenomena ini digelar sebagai belalai air dan bukan puting beliung seperti yang didakwa.

“Ia berlaku apabila ada awan ribut petir sehingga menimbulkan kesan seperti belalai air di lokasi terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2017 @ 10:41 AM