Rohani  (kanan) bersama Norani (dua dari kanan) melawat kawasan yang dilanda ribut.
Rohani (kanan) bersama Norani (dua dari kanan) melawat kawasan yang dilanda ribut.

Alor Setar: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan khidmat kaunseling kepada semua mangsa dan keluarga masing-masing yang masih dibelenggu trauma selepas terbabit dalam kejadian puting beliung di beberapa kawasan di negeri ini bagi menyuntik semangat mereka untuk meneruskan kehidupan.

Menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, seramai tiga kaunselor yang terlatih ditempatkan di JKM negeri dan bersedia untuk berkhidmat pada bila-bila masa yang diperlukan oleh mangsa atau penduduk kampung terbabit.

Katanya, khidmat kaunseling itu diteruskan sehingga mereka tidak lagi memerlukan khidmat itu dan sesiapa yang memerlukannya boleh merujuk ke JKM berhampiran kawasan masing-masing.

“Kami memahami perasaan dialami mangsa dan penduduk kampung yang dilanda bencana berkenaan, malah seluruh penduduk di Kedah juga pasti merasai ketakutan itu kerana kita tidak tahu bila kejadian sama boleh berulang.

“Khidmat kaunseling yang disediakan lebih kepada meluahkan perasaan kerana kami percaya ada antara mereka mengalami trauma berikutan kejadian itu,” katanya pada sidang media ketika melawat mangsa puting beliung di Kampung Sungai Nonang, Jalan Kuala Kedah-Yan, di sini, semalam.

Pada majlis berkenaan, beliau turut menyampaikan bantuan makanan dan wang tunai RM300 kepada 19 keluarga di kampung berkenaan yang terbabit dalam kejadian puting beliung berskala kecil, Rabu lalu.

Hadir sama, Ketua Pengarah JKM Datuk Noraini Mohd Hashim, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita Datuk Munirah Abdullah Bajanuddin dan Pengarah JKM negeri Md Noor Chik.

Mengulas lanjut, Rohani menyarankan semua mangsa dan penduduk kampung yang terbabit dalam kejadian itu supaya mendapatkan khidmat kaunseling secara percuma bagi memastikan mereka dapat meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Kami anggap ini semua sebagai musibah dan ujian daripada Allah SWT. Bagaimanapun, saya berdoa dan berharap kami semua dapat keluar daripada musibah ini dengan menjadi lebih matang, kuat serta tidak hilang semangat,” katanya.

Katanya, pihaknya juga mengadakan mesyuarat penyelarasan bersama agensi kerajaan bertanggungjawab dalam menguruskan pengagihan bantuan kepada mangsa puting beliung sebelum barangan yang disumbangkan daripada pelbagai pihak itu dapat diagihkan secara sama rata kepada mangsa.

Sementara itu, penerima Zainol Mustaffa, 58, berkata, bantuan wang tunai RM3,000 sumbangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta bantuan makanan daripada pelbagai agensi dan jabatan kerajaan dapat meringankan beban ditanggung berikutan rumah pusaka berusia lebih 35 tahun didiami bersama keluarga musnah teruk dalam kejadian terbabit.

“Selain itu, saya berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana sudi membantu kami sekeluarga untuk membina rumah baru dalam masa terdekat kerana rumah yang tinggal memang tidak boleh diduduki.

“Dengan bantuan diberikan juga saya berharap ia boleh meredakan trauma dialami isteri hingga terpaksa dimasukkan ke wad akibat tidak lalu makan sejak dua hari lalu,” katanya.

Seorang lagi penerima Yusof Arshad, 78, berkata, sebagai ketua keluarga dia mengambil inisiatif sendiri dengan meminta bantuan rakan untuk membina semula sebahagian rumah yang roboh akibat diterbangkan angin kuat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 November 2014 @ 5:40 AM