PEMAIN Pahang, Azamuddin Mohd Akil (kanan) diasak pemain PDRM, M Azrul Azman  (kiri) dalam perlawanan Kumpulan D.
PEMAIN Pahang, Azamuddin Mohd Akil (kanan) diasak pemain PDRM, M Azrul Azman (kiri) dalam perlawanan Kumpulan D.
Oleh Asrol Awang

Kuantan: Pahang akan memastikan Pulau Pinang pulang hampa apabila melayan kunjungan pelawat pada aksi terakhir Kumpulan D Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, Rabu ini.

Pemain tengah Hafiz Kamal bersama rakan sepasukan akan memastikan kemenangan pada pertemuan dengan Pulau Pinang sekali gus muncul juara Kumpulan D piala berprestij itu.

Pemain kelahiran Manjung, Perak itu berkata, kejayaan membenam Polis Diraja Malaysia (PDRM) 3-0 ternyata membantu meningkatkan motivasi skuad Tok Gajah selepas terdahulu diaibkan dengan dua kekalahan berturut-turut.

Katanya, tiada lagi ruang yang akan diberikan terutama kepada Pulau Pinang selepas pasukan itu mencatat kemenangan besar 4-1 pada perlawanan di Stadium Bandaraya, 26 September lalu.

“Kekalahan besar itu sememangnya begitu dirasai walaupun kami sudah berusaha untuk memastikan kejayaan buat pasukan. Oleh itu peluang terbaik ini termasuk beraksi di halaman sendiri diharap dapat membalas dendam kekalahan itu.

“Sudah pasti Pulau Pinang akan memberikan tentangan sengit kerana mereka juga masih berpeluang mengisi satu lagi slot ke suku akhir piala berprestij ini jika menang.

“Apa yang pasti kami akan mengakhiri aksi peringkat kumpulan ini dengan kemenangan sekali gus menebus kekalahan kepada lawan sebelum ini,” katanya semalam.

Hafiz berkata, sokongan padu penyokong Tok Gajah ditagih untuk memberikan semangat kerana berkat sokongan mereka sebelum ini banyak membantu meningkatkan prestasi pasukan.

Menurutnya, sebagai pemain berkat sokongan padu peminat ternyata membantu selepas kekalahan kepada Pulau Pinang dan PKNS FC tetapi mereka tetap memberikan kata-kata semangat.

“Kami berterima kasih kepada peminat yang tetap bersama Pahang dan sanggup datang ke stadium untuk memastikan Pahang melakar kemenangan.

“Oleh itu, kami akan pastikan Piala Malaysia musim ini dipertahankan sekali gus menjulangnya buat kali ketiga berturut-turut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2015 @ 5:09 AM