Oleh Asrol Awang

Kuantan: Pemain tengah Pahang, Mohd Hafiz Kamal mendedahkan pasukan itu berhasrat mencatat kemenangan pada semua perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia dan layak lebih awal ke suku akhir.

Jelasnya, pertemuan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada aksi pembukaan Sabtu ini adalah peluang buat skuad itu meraih kemenangan selepas muncul juara dua musim berturut-turut.

“Tapi kami perlu waspada dengan persiapan lawan kerana sudah pasti mereka melakukan perancangan rapi terutama untuk menewaskan Pahang. Ini kerana Piala Malaysia adalah piala terakhir musim ini.

“Bagi saya, kejayaan Pulau Pinang layak ke Liga Super musim ini juga memberi petanda kami perlu berhati-hati di samping tidak memandang mudah pertemuan dengan PKNS,” katanya semalam.

Menurutnya, selaku juara dua musim berturut-turut, Pahang berazam mempertahankan Piala Malaysia buat kali ketiga bagi mengubat kekecewaan gagal mempertahankan Piala FA dan Piala Sumbangsih musim ini.

“Oleh itu, kami sudah sedia untuk bertemu tiga pasukan dalam Kumpulan D iaitu PDRM, Pulau Pinang dan PKNS,” katanya.

Hafiz yang membantu Pahang muncul juara Piala Malaysia 2013 dan 2014 berkata, kejayaan itu tidak akan dicapai tanpa sokongan padu penyokong setia skuad Tok Gajah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2015 @ 8:53 AM