HAFIZ gembira bersama anak sulungnya.
HAFIZ gembira bersama anak sulungnya.
Oleh Asrol Awang


Kuantan: Pemain tengah Pahang, Hafiz Kamal percaya kehadiran cahaya mata sulung memberi lebih kekuatan dan keyakinan kepadanya apabila bertemu Selangor pada separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, malam ini.

Hafiz berkata, kelahiran puteri sulung Nur Iqlil Amanda yang dilahirkan seberat 2.9 kilogram Jumaat lalu, memberi sumber inspirasi terbaik dalam usaha membantu Pahang layak ke final sekali gus mempertahankan piala berprestij itu buat kali ketiga berturut-turut.

Justeru katanya, selepas bergelar bapa, rezeki dikurniakan bersama isteri Nur Julaikha Ishak, 24, diharap seiring terutama memastikan kemenangan ke atas musuh tradisi Selangor.

“Tapi saya akui bukan tugas mudah buat kami untuk menewaskan Selangor yang kini berada pada prestasi meyakinkan namun semuanya mampu disempurnakan dengan semangat dan kerjasama sepasukan.

“Apa yang pasti saya tidak sabar untuk memberikan komitmen 100 peratus sepanjang 90 minit perlawanan terutama memanfaatkan peluang apabila Pahang memperoleh sepakan percuma,” katanya semalam.

Hafiz berkata, kekuatan skuad Tok Gajah bukan hanya daripada pengurusan, jurulatih dan pemain tetapi sokongan padu peminat juga akan membantu menaikkan semangat pasukan.

Kehadiran penyokong Tok Gajah amat ditagih untuk memberikan lebih motivasi dalam usaha mencatat kemenangan ke atas Selangor yang pasti memberikan tentangan sengit.

“Oleh itu, kami akan pastikan kelebihan beraksi di laman sendiri bukan saja untuk mencatat kemenangan, malah jaringan itu akan membantu sebagai bekalan selesa apabila bertandang ke Shah Alam Ahad ini,” kata pemain berusia 28 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2015 @ 9:13 AM