Reuters

Frankfurt: Pendahulu Bundesliga Bayern Munich yang bermula pantas musim ini akhirnya ‘keletihan’ apabila seri tanpa jaringan dengan Eintracht Frankfurt, biarpun menang 10 perlawanan yang disertai mereka sebelum ini.

Pasukan juaran itu kehilangan sentuhan semulajadi mereka dan biarpun mendominasi perlawanan, ternyata masih gagal memecah kubu lawan.

Keputusan itu gagal memastikan mereka menyamai rekod permulaan terbaik pada awal musim yang masih dipegang Tottenham Hotspur dengan 11 kemenangan berturut-turut pada 1960.

“Setiap minggu kami fikir tiada pasukan yang mampu bertahan lebih baik dan tiba-tiba ada pasukan yang bermain dengan pertahanan mantap,” kata kapten Bayern, Philipp Lahm.

“Saya fikir Frankfurt bermain 6-3-1 malam ini. Namun jika kami memanfaatkan peluang dan menjaringkan gol, kita mungkin boleh berseronok.”

Petanda hari mengecewakan Bayern adalah kad kuning buat Lahm yang tidak melakukan sebarang kekasaran dalam 24 perlawanan terdahulu, yang juga penampilan ke-450 bersama kelab itu.

Kelab Bavaria yang mengumpul 31 mata melebarkan penguasaan mereka kepada lapan mata mengatasi pasukan tangga kedua Borussia Dortmund, yang berkunjung ke Werder Bremen sementara Schalke 04, di tangga ketiga dengan 19 mata, menanti kunjungan pendatang baru Ingolstadt.

Eintracht, yang kembali bersemangat selepas tersingkir pada pusingan kedua Piala Jerman kepada pasukan divisyen ketiga Erzgebirge Aue pada Selasa, naik ke tangga ke-11 dengan 13 mata.

Bayern, yang memenangi enam perlawanan dengan Eintracht sebelum ini tanpa bolos sebarang gol, kelihatan agresif sejak awal dan Arturo Vidal menguji penjaga gol Lukas Hradecky menerusi tandukan pada minit ke-11.

Kesilapan pertahanan tuan rumah pada awal separuh masa kedua membolehkan Douglas Costa bergerak tanpa diawasi di depan gol namun sekali lagi Hradecky berjaya menolak keluar bola sepakan pemain Brazil itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2015 @ 5:09 AM