COMAN terpaksa dibawa keluar selepas mengalami kecederaan. -FOTO AFP
COMAN terpaksa dibawa keluar selepas mengalami kecederaan. -FOTO AFP
AFP

Munich: Pertahanan Bayern Munich, Raphael Guerreiro menjaringkan gol pada separuh masa kedua dan gol lewat perlawanan Thomas Mueller memastikan Bayern menewaskan Cologne 2-0 dan kemenangan itu menangguhkan hasrat Bayer Leverkusen untuk berpesta sebagai juara Bundesliga lebih awal.

Kemenangan Bayern itu bermakna Leverkusen pimpinan Xabi Alonso, yang kini mendahului 13 mata mengatasi Bayern, perlu mengalahkan Werder Bremen di tempat sendiri untuk menjulang trofi Bundesliga untuk kali pertama.

Jurulatih Bayern, Thomas Tuchel, membuat tujuh perubahan kepada pasukannya menjelang perlawanan kedua separuh akhir Liga Juara-Juara menentang Arsenal Rabu ini ketika percubaan Harry Kane dan Mathys Tel terkena palang pada separuh masa pertama.

Bekas pemain Borussia Dortmund, Guerreiro, bermula di bek kiri melepaskan rembatan lencong dari luar kotak berjaya memecah kebuntuan selepas 65 minit perlawanan.

Mueller menambah satu lagi gol untuk mengesahkan kemenangan pada minit ketiga masa kecederaan.

Bagaimanapun kemenangan itu dibayar dengan kos yang tinggi apabila pemain sayap Bayern, Kingsley Coman, dibawa keluar kerana kecederaan lima minit memasuki separuh masa kedua, meninggalkannya keraguan menjelang kunjungan Arsenal minggu depan.

"Dia akan menjalani ujian lanjut tetapi ia tidak kelihatan baik," kata pengarah sukan Bayern Christoph Freund.

Bayern kini menyertai Stuttgart dengan 63 mata, selepas Stuttgart menewaskan Eintracht Frankfurt 3-0 semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2024 @ 8:21 AM