REAKSI pemain Bayern selepas tewas di  Leverkusen.
REAKSI pemain Bayern selepas tewas di Leverkusen.
AFP

BERLIN: Juara bertahan, Bayern Munich turun ke tangga ketiga Bundesliga selepas tewas mengejut 1-3 di tangan Bayer Leverkusen, awal pagi tadi sekali gus membolehkan Borussia Dortmund mengukuhkan kedudukan di tangga teratas dengan kelebihan tujuh mata.

Gol pada babak kedua dihasilkan Leverkusen menerusi jaringan Leon Bailey, Kevin Volland dan Lucas Alario menyaksikan Bayern mengalami kekalahan keempat mereka musim ini.

Dortmund sekurang-kurangnya berjaya meraih satu mata bagi menambah kelebihan mereka apabila seri 1-1 dengan Eintracht Frankfurt.

Lebih malang, kekalahan itu menyaksikan kedudukan Bayern di tangga kedua dipintas Borussia Moenchengladbach menerusi perbezaan gol selepas kelab itu melakar kemenangan 2-0 ke atas Schalke.

“Perkara positifnya, Dortmund tidak mendapat tiga mata,” kata jurulatih Bayern, Niko Kovac.

Terdahulu, Bayern membuka tirai jaringan menerusi Leon Goretzka pada minit ke-41 – gol keempatnya dalam tiga perlawanan  terakhir.

Bagaimanapun, Leverkusen mempamer kebangkitan sebaik bersambung babak kedua dengan Bailey menjaringkan gol penyamaan minit ke-53 sebelum Volland menambah gol kedua minit ke- 63 dan Alario (min-87).  

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Februari 2019 @ 10:06 AM