Oleh Feralfie Fauzi

Kuala Lumpur: Pemain muda Amerika Syarikat, Justin Thomas terus mengungguli Klasik CIMB pada hari ketiga semalam di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) apabila mengekalkan kedudukan pendahulu.

Bagaimanapun, rakan senegara, Brendan Steele bakal menjadi penghalangnya untuk muncul juara hari ini apabila turut berkongsi kedudukan teratas selepas masing-masing mengumpul keseluruhan 196 pukulan.

Thomas, 22, yang mula mendahului permainan sejak pusingan kedua kelmarin berjaya melakukan lima bawah par 67, manakala Steele pula enam bawah par 66 semalam.

Sementara itu, Kevin Na melengkapkan penguasaan Uncle Sam apabila menghuni tempat ketiga mengumpul 197 pukulan selepas melakukan lapan bawah par 64.

Menurut Thomas, walaupun mengumpul tiga bogey semalam dia berasa lega kerana masih kekal kedudukan pendahulu bersama Steele dan menganggap dua birdie di lubang 17 dan 18 memberi makna yang sangat besar buatnya.

“Ada aksi saya kurang baik hari ini (semalam) tetapi pukulan putt saya masih lagi sempurna walaupun bola tidak masuk ke dalam lubang. Bagaimanapun, pukulan putt saya menjadi di lubang 17 dan 18.

“Saya berasa sangat gembira walaupun terpaksa berkongsi kedudukan pendahulu. Permainan seperti ini yang anda akan harapkan di mana-mana kejohanan. Saya akan menggunakan pengalaman sebelum ini di kejohanan lain terutama ketika melakukan pukulan di fairway,” katanya.

Sementara itu, Steele berkata, ramai pemain boleh muncul juara hari ini dan dia hanya berharap untuk turun ke lapangan serta beraksi seperti mana yang dilakukannya semalam serta mempamerkan permainan agresif.

“Saya perlu melakukan lebih banyak birdie dan kekal agresif. Bagaimanapun, saya juga harus banyak bersabar. Anda perlu melakukan sedikit persediaan termasuk minum dan makan secukupnya sebelum ke lapangan,” katanya yang melakukan enam birdie di lubang lima, tujuh, sembilan, 10, 12 dan 15.

Pusingan terakhir hari ini juga dijangka menarik dan sengit apabila empat pemain berkongsi kedudukan keempat termasuk James Hann, Brian Harman, Spencer Levin (AS) dan Hideki Matsuyama (Jepun) dengan mengumpul keseluruhan 199 pukulan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2015 @ 5:04 AM