AFP

BRENDAN Steele (gambar) melakukan 69 pukulan pada pusingan terakhir untuk menjuarai golf Jelajah PGA Terbuka Safeway buat kali kedua berturut-turut, hari ini.

Steele yang memulakan permainan ketinggalan dua pukulan di belakang pendahulu Tyler Duncan, menamatkan saingan dengan keseluruhan 15 bawah par 273, kelebihan dua pukulan mengatasi Tony Finau.

Finau turut melakukan 69 pukulan pada hari terakhir di Silverado Resort & Spa di Napa, California di sini.

Juara Major lima kali, Phil Mickelson yang memburu kejuaraan pertamanya sejak Terbuka Britain pada 2013 hanya kurang satu pukulan untuk berkongsi kedudukan ketiga dengan catatan 276.

Dia terikat bersama rakan senegara dari Amerika Syarikat (AS) Chesson Hadley yang menutup kempen dengan 73 pukulan.

Duncan yang mengetuai atau berkongsi kedudukan pendahulu pada tiga pusingan sebelum ini berdepan permulaan mengecewakan apabila melakukan tiga bogey pada pusingan pembukaan.

Dia mengumpul 75 untuk berkongsi tangga kelima bersama pemain Kanada, Graham DeLaet (72) untuk keseluruhan 277.Steele dalam pada itu mengharungi permulaan yang baik dengan tiga birdie pada sembilan lubang awal dan sekali pun memperoleh dua bogey, ia tidak menghalangnya daripada muncul pemenang.

“Ia adalah besar,” kata Steele yang berkata keadaan angin yang kuat serta datang daripada pelbagai arah menyaksikan pusingan terakhir menjadi lebih mencabar.

“Keadaan angin cukup ganas hari ini. Banyak lubang dihalang oleh angin, banyak pukulan yang tidak selesa.”

Mickelson pada satu ketika ketinggalan satu pukulan di belakang Steele selepas birdie pada lubang ke-16 namun bogey pada lubang berikutnya menyebabkannya tercicir.“Saya memperoleh masa yang baik hari ini,” kata Mickelson.

“Seronok untuk berada dalam keadaan seperti ini, seronok untuk mendapat peluang.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 11:59 AM