JDT mencipta sejarah muncul juara Piala AFC 2015. FOTO ARKIB NSTP
JDT mencipta sejarah muncul juara Piala AFC 2015. FOTO ARKIB NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memperuntukkan dua slot pertandingan kelab AFC bagi Tier 1 dan Tier 2 musim 2024/2025.

Badan pengurusan liga itu menerusi kenyataannya memaklumkan Ahli Lembaga Pengarah (BOD) MFL membuat keputusan berdasarkan perubahan baharu yang dilakukan AFC mengenai format pertandingan kelab AFC bagi musim 2024/2025.

"Berdasarkan keputusan BOD itu, juara Liga Super 2023 akan layak beraksi di pertandingan kelab AFC Tier 1 manakala juara Piala FA akan mendapat slot ke pertandingan kelab AFC Tier 2.

"Sekiranya juara Liga Super dan juara Piala FA bagi musim 2023 adalah kelab sama, maka juara Liga Super akan beraksi dalam pertandingan kelab AFC Tier 1 dan naib juara Liga Super pula akan layak bertanding dalam saingan kelab AFC Tier 2.

"Jika kelab yang layak ke pertandingan itu gagal menepati syarat Perlesenan Kelab AFC, maka penggantian kelab yang akan layak ke pertandingan itu adalah tertakluk kepada keputusan dan kelulusan MFL," katanya.

Mengikut rekod, Malaysia mendapat tiga slot bagi musim 2023/24 iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT) yang beraksi di Liga Juara-Juara Asia (ACL) sementara Terengganu FC (TFC) dan Sabah FC beraksi di Piala AFC.

Pencapaian terbaik negara di pentas ACL adalah menerusi JDT yang mencipta sejarah layak ke pusingan kalah mati edisi 2022 dan JDT turut merakam pencapaian terbaik di Piala AFC dengan menjuarai edisi 2015.

Hanya dua wakil Asean iaitu Malaysia dan Thailand akan beraksi di saingan Tier 1 apabila Thailand mendapat dua slot di Tier 1 membabitkan satu secara terus dan satu menerusi 'play-off' serta satu slot automatik bagi saingan Tier 2.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2023 @ 9:16 PM