LAPORAN Arena. FAIL Harian Metro
LAPORAN Arena. FAIL Harian Metro
Devinder Singh


JUARA Liga Super musim depan sudah pasti layak secara automatik ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC 2019 tetapi keputusan Pahang untuk tidak bermain di Piala AFC mungkin memberikan kesan lebih buruk.

Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John mengesahkan bahawa slot bagi satu pasukan dari Malaysia untuk ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia 2019 dan 2020 sudah tentu ada.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa jika Malaysia hanya mempunyai satu wakil di Piala AFC 2018, ranking kelab dari negara ini pasti merudum.

“Malaysia mengatasi Hong Kong dengan kelebihan kecil saja untuk layak ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara 2019 dan 2020,” kata Windsor, hari ini.

“Tetapi untuk kekal berada di depan dalam kedudukan ranking, kelab Malaysia perlu bermain di dalam kejohanan AFC. Jika anda tidak mendapat mata, kedudukan anda di dalam ranking pasti jatuh.

“Saya bimbang, Malaysia akan menyesali tindakan Pahang yang enggan bermain di Piala AFC. Kesannya akan dapat dilihat dalam tempoh empat tahun lagi.”

WINDSOR PAUL JOHN
WINDSOR PAUL JOHN

Windsor berkata, prestasi pasukan memainkan 90 peratus peranan dalam menentukan kedudukan ranking kelab Malaysia manakala bakinya disumbangkan keputusan yang dicapai skuad kebangsaan berdasarkan ranking FIFA.

Purata mata akan dikira untuk tempoh empat tahun dan ia akan menentukan kedudukan berapa banyak slot yang boleh diberikan kepada negara terbabit dalam Liga Juara-Juara atau Piala AFC.

Berdasarkan senarai ranking kelab AFC yang terbaru, Malaysia hanya mengatasi Hong Kong dengan kelebihan 0.266 mata untuk menduduki tangga ke-13 selepas mengumpul 29.300 mata. Sebahagian besarnya adalah hasil keputusan yang dilakar Johor Darul Ta’zim sejak beberapa tahun lalu.

“Punca lonjakan mata buat Malaysia adalah disebabkan JDT muncul juara Piala AFC 2015,” kata Windsor. “Tetapi mata akan dikira berdasarkan purata dan jika hanya satu pasukan bertanding di kejohanan AFC, anda pasti rugi.”

Kejayaan JDT muncul juara Piala AFC 2015 menyumbang satu pertiga daripada purata mata yang diperoleh kelab Malaysia.

Justeru, keengganan Pahang untuk bermain di Piala AFC menyaksikan JDT muncul wakil tunggal Malaysia di kejohanan berkenaan jika pasukan itu tidak layak ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia bulan depan.

Pahang yang juga naib juara Liga Super, dipelawa untuk beraksi di Piala AFC selepas juara Piala FA, Kedah gagal memperoleh lesen AFC.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2017 @ 7:26 PM