Kuala Lumpur: Tabung Haji (TH) menyasarkan nilai simpanan pendepositnya akan meningkat melebihi RM60 bilion menjelang akhir tahun depan.

Ketua Pegawai Pelaburannya, Abdul Kadir Sahlan berkata, sehingga kini, nilai simpanan deposit TH sebanyak RM52 bilion dan dijangka terus meningkat sehingga RM52.5 bilion menjelang akhir tahun ini.

“Secara purata jumlah simpanan pendeposit TH akan meningkat 17 peratus setiap tahun,” katanya pada Majlis Penyampaian Sumbangan Program Iqra TH 2014 Peringkat Wilayah Persekutuan, di SK Setapak Indah di sini semalam.

Abdul Kadir mewakili Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tan Sri Ismee Ismail.

Sehingga 31 Oktober lalu, TH mempunyai 8.56 juta pendeposit dengan bilangan pendeposit baru pada tahun ini seramai 395,455 orang.

Dalam pada itu, Abdul Kadir berkata, tahun depan TH masih menumpukan aspek pelaburan dalam sektor hartanah, perladangan dan ekuiti.

Sementara itu, melalui projek Iqra’, TH menyampaikan agihan zakat pendidikan bernilai RM235,000 kepada 470 pelajar daripada 30 sekolah di sekitar Wilayah Persekutuan.

Zakat pendidikan RM500 bagi setiap pelajar itu berupa kelengkapan sekolah bernilai RM200 dan wang tunai RM300.

Wilayah Persekutuan lokasi ketujuh menerima zakat pendidikan itu dan akan disusuli negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak.

Projek Iqra’ antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) TH bagi kalangan pelajar kurang bernasib baik dan kurang berkemampuan.

Pada tahun ini TH mengagihkan zakat pendidikan berjumlah RM2.3 juta kepada 4,530 pelajar daripada 194 sekolah di seluruh negara. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 November 2014 @ 5:03 AM