Sri Ayu Kartika Amri


LEMBAGA Tabung Haji (TH) mengumum agihan keuntungan selepas zakat pada kadar 3.05 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019.

Agihan itu berjumlah RM2.1 bilion, iaitu RM1.2 bilion lebih tinggi berbanding RM0.9 bilion bagi tahun kewangan 2018.

Agihan keuntungan yang lebih baik ini didokong oleh prestasi dan kedudukan kewangan semakin baik berasaskan strategi pelaburan yang mampan serta langkah pengurusan kos secara berhemat.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata, agihan keuntungan yang diisytihar TH adalah lebihan keuntungan pelaburan selepasmengambil kira perbelanjaan dan bantuan kos haji, bayaran zakat dan kos pengurusan.

"Oleh demikian, pendeposit TH bukan sahaja mendapat manfaat pulangan keuntungan ke atas simpanan mereka, malah turut menyumbang secara langsung dalam membantu jemaah haji Malaysia menunaikan rukun Islam kelima dan golongan asnaf dalam menjaga kebajikan mereka.

"TH membayar zakat bagi pihak pendeposit, oleh itu pendeposit tidak perlu lagi membayar zakat ke atas wang simpanan dan agihan keuntungan yang diterimanya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagi tahun kewangan 2019, TH berjaya menjana pendapatan pelaburan berjumlah RM3.3 bilion, di mana sejumlah RM1.2 bilion telah diperolehi dalam suku keempat.

Secara keseluruhan, pendapatan pelaburan yang dijana TH adalah lebih stabil di mana pelaburan aset pendapatan tetap menjana 58 peratus pendapatan atau sebanyak RM1.9 bilion manakala pelaburan hartanah, ekuiti dan instrumen pasaran wang Islam masing-masing menyumbang RM0.5 billion (15 peratus), RM0.5 bilion (15 peratus) dan RM0.4 bilion (12 peratus).

Agihan keuntungan bagi tahun kewangan 2019 dikira berdasarkan purata baki simpanan terendah bulanan pendeposit.

Pendeposit boleh menyemak pengkreditan agihan keuntungan bermula 16 Mac 2020 menerusi kaunter TH, Bank Islam dan Bank Rakyat, di ATM Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank dan CIMB, atau secara dalam talian di http://www.thijari.com.my dan portal internet Bank Islam, Bank Rakyat dan Maybank.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2020 @ 11:27 AM