PENJAGA Gol PKNS    G Jeevanathan  menepis bola hantaran pemain Pulau Pinang pada aksi di Stadium Selayang, malam tadi.
PENJAGA Gol PKNS    G Jeevanathan menepis bola hantaran pemain Pulau Pinang pada aksi di Stadium Selayang, malam tadi.
Oleh Aziman Rosdi


Selayang: PKNS FC terpaksa menangguhkan hajat mara ke suku akhir Piala Malaysia selepas terikat 1-1 dengan Pulau Pinang di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam tadi.

Satu mata yang dipungut di laman sendiri itu tidak cukup untuk mereka mengekalkan kedudukan teratas Kumpulan D apabila dipintas Pahang yang mengalahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 3-0 di Shah Alam.

PKNS FC kini mengumpul lapan mata, satu mata di belakang pendahulu Pahang yang meneruskan kemaraan ke pusingan seterusnya.

Pulau Pinang yang dibimbing Jackson Tiago mengejutkan pasukan tuan rumah apabila mendahului permainan 1-0 hasil rembatan deras pemain import dari Korea Selatan Lee Gil Hoon pada minit ke-16.

Tersentak dengan gol itu, PKNS FC menggandakan asakan dan hampir mengikat kedudukan, namun tandukan Gonzalez Manuel Soto tersasar pada minit ke-33.

Usaha PKNS FC berhasil dua minit sebelum babak pertama tamat apabila Alif Haikal menolak masuk hantaran Patrick Ronaldinho dalam kotak penalti.

Peluang terbaik PKNS FC kendalian E Elavarasan untuk memungut tiga mata penuh hadir pada minit ke-82, namun tandukan lemah Mohd Arip berjaya diselamatkan penjaga gol pasukan pelawat Sani Anuar Kamsani.

PKNS FC akan berdepan PDRM di Stadium Shah Alam pada 4 November bagi menentukan slot ke suku akhir manakala Pulau Pinang menentang Pahang di Stadium Darul Makmur.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2015 @ 10:07 AM