PEMAIN Pulau Pinang, Lee Gil Hoon  melepasi tiga pemain Pahang  di Stadium Bandaraya Pulau Pinang.
PEMAIN Pulau Pinang, Lee Gil Hoon melepasi tiga pemain Pahang di Stadium Bandaraya Pulau Pinang.
Oleh Mohd Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Kemenangan mengejut Pulau Pinang ke atas juara bertahan Pahang minggu lalu, ternyata mengundang resah PKNS FC apabila mereka bertemu pada aksi Kumpulan D kempen Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MP Selayang), malam ini.

Tanpa berselindung, pengendali skuad Semut Merah E Elavarasan mengakui kehebatan lawan terutama selepas kejayaan besar diraih sebelum ini sambil menganggap pasukannya akan turun selaku ‘bukan pilihan’.

“Pertemuan itu bukan tugas mudah buat kami, melihatkan keputusan Sabtu lalu jelas memihak lawan yang kini berada di kemuncak prestasi.

“Saya menuntut supaya pemain turun dengan semangat tinggi serta bermati-matian bagi memburu kemenangan di depan penyokong sendiri. Namun, saya ingatkan pemain supaya berhati-hati dengan serangan pantas penyerang Pulau Pinang yang mampu memerangkap kami,” katanya, semalam.

Tambahnya, kemenangan malam ini amat penting dalam usaha merapatkan jurang mata dengan pendahulu Pahang, sekali gus cuba melayakkan diri ke peringkat suku akhir lebih awal tanpa perlu bergelut pada aksi terakhir kumpulan nanti.

“Saya yakin dengan peluang yang ada. Kemenangan ke atas Pulau Pinang akan dijadikan pembakar semangat kepada pemain untuk meneruskan usaha kami layak ke pusingan seterusnya selepas ini,” katanya.

Menurutnya walaupun PKNS sekadar seri 1-1 dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), tidak mustahil pasukannya itu mampu bangkit dan meraih tiga mata penuh.

“Saya berpuas hati dengan persembahan pemain ketika bertemu PDRM, walaupun agak kecewa kerana nasib tidak menyebelahi kami. Apapun saya harapkan tuah akan bersama kami kali ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2015 @ 4:57 AM