Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Negeri Sembilan (NS) Matrix gagal memanfaatkan aksi di laman sendiri apabila kecundang kepada Pulau Pinang 1-2, dalam saingan pusingan ketiga Piala FA, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Sekalipun di depan seawal minit ke-dua, kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Pulau Pinang dilihat lebih banyak menguasai saingan.

Sebaik visel perlawanan dimulakan jentera serangan tuan rumah bijak memperdayakan benteng pelawat dengan gol pantas hasil jaringan Shahrizal Mohd Saad hasil gerakan satu dua dengan Francis Forkey Doe untuk menewaskan penjaga gol Pulau Pinang, Sani Anuar Kamsani.

Jaringan itu menyentap semangat pemain Pulau Pinang dan mereka melakukan beberapa gerakan berbahaya ke kubu tuan rumah dan usaha itu nyata membuahkan hasil apabila penyerang mereka, Alberto Goncalves Da Costa bijak memperdayakan benteng untuk menyamakan kedudukan menerusi sepakan deras menewaskan penjaga gol NS Matrix, Mohd Helmi Eliza m-12.

Skuad Hobin Jang Hobin dilihat beberapa kali berpeluang menguji benteng lawan namun Forkey Doe dirantai kemas dua pertahanan Pulau Pinang.

Sebaik aksi bersambung, Pulau Pinang menggandakan asakan dan hampir membuahkan hasil namun tandukan Alberto m-48, terkena palang sekali gus terselamat pintu gol NS Matrix.

Pelawat tidak berputus asa dengan melakukan beberapa gerakan berbahaya namun pertahanan NS Matrix berjaya menangkis setiap asakan mereka.

Namun, gara-gara kesilapan Mohd Helmi yang gagal menangkap kemas bola sepakan Lee Gil Hoon dari sebelah kiri, meletakkan Pulau Pinang berada di depan pada m-80.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2015 @ 5:30 AM