JOHAN KAMAL HAMIDON
JOHAN KAMAL HAMIDON
Syafiq Aznan


KUALA LUMPUR: Percubaan Geng 52 untuk ‘merampas’ kuasa dalam Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) akhirnya gagal selepas keputusan Pejabat Pesuruhjaya Sukan tidak memihak kepada mereka.

Perkembangan itu dimaklumkan oleh Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon menerusi satu kenyataan rasmi persatuan itu, hari ini.

Katanya, sekretariat FAS sudah menerima surat daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan bertarikh 17 Disember lalu yang memaklumkan mengenai keputusan mereka terhadap Kongres Luar Biasa (EGM) ‘haram’ yang dilangsungkan Geng 52, awal bulan lalu.

“Surat itu menyatakan mesyuarat yang kononnya EGM pada 8 November lalu sudah melanggar statut dan terdapat beberapa keraguan maka ia tidak teratur dan tidak mengikut proses.

“Presiden, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan barisan Exco berasa amat bersyukur atas perkembangan ini.

“Justeru, kami ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Pesuruhjaya Sukan dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang menangani isu ini dengan penuh kredibiliti dan profesionalisme,” katanya.

Dengan termeterainya kemelut itu, Johan menegaskan persatuan induk itu kini boleh terus meletakkan tumpuan sepenuhnya terhadap persiapan pasukan bagi menghadapi musim baharu.

“Fokus kami untuk memantapkan serta meningkatkan persiapan bagi musim 2019.

“Kami juga ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua penyokong Red Giants yang memberi sokongan sepenuhnya kepada kami selama ini,” katanya.

Sebagai rekod, Geng 52 mengadakan EGM di Seri Kembangan, 8 November lalu selepas mendakwa mendapat sokongan yang secukupnya daripada ahli gabungan.

Meskipun mereka memilih kembali Tengku Amir Shah untuk terus menerajui FAS, namun beliau tetap tidak mengiktiraf EGM itu kerana didakwa tidak mengikut prosedur serta gagal memenuhi Artikel 30, Statut FAS.

Kemuncaknya, kelompok haluan kiri itu menerima padah selepas FAS memecat 43 ahli gabungan yang tidak sehaluan dengan nilai diri dan impian persatuan itu, Sabtu lalu.

KRONOLOGI ‘PEREBUTAN KUASA’ FAS

1 Oktober 2018

Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon menerima 67 pucuk surat daripada ahli gabungan FAS yang meminta supaya Kongres Luar Biasa (EGM) diadakan.

14 Oktober 2018

FAS menerima 17 penarikan balik dan juga lima pembatalan permintaan. Daripada 67 permintaan bertulis ahli gabungan yang diterima FAS, hanya tinggal 45 permintaan bertulis yang boleh diteliti pada masa itu.

Berdasarkan jumlah ini, peratusan yang membuat permintaan bertulis untuk mengadakan EGM itu adalah 47.3%, iaitu jumlah peratusan yang tidak mencukupi korum.

15 Oktober 2018

FAS menerima maklum balas daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan yang menyatakan pihak Pesuruhjaya Sukan mengiktiraf bukti mengapa EGM itu tidak boleh diadakan dan turut memaklumkan mereka akan terus menyiasat bukti dikemukakan dengan lebih lanjut.

18 Oktober 2018

FAS melalui Setiausaha Agung mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada 45 ahli gabungan yang tidak menarik balik permintaan berkenaan.

22 Oktober 2018

FAS menerima surat daripada Roslin Shariff (Frenz United) yang memberitahu bahawa mereka masih ingin menganjurkan EGM tersebut pada 8 November.

25 Oktober 2018

FAS membalas surat Roslin Shariff yang tetap ingin menganjurkan EGM dengan menyatakan bahawa ia tidak sah kerana gagal memenuhi Artikel 30–1b dengan 10 sahaja permintaan bertulis ahli gabungan untuk mengadakan EGM itu. Surat yang sama juga sudah dikongsikan bersama FAM dan Pesuruhjaya Sukan.

25 Oktober 2018

EXCO mengadakan mesyuarat jawatankuasa eksekutif yang kelapan dan telah sebulat suara menerima kemasukan 26 ahli gabungan baru mengikut statut FAS Artikel 12 iaitu melalui prosedur dan proses yang betul. Kemasukan 26 ahli baru ini membawa kepada jumlah ahli gabungan yang baru iaitu sebanyak 121 ahli.

26 Oktober 2018

FAS melalui Setiausaha Agung mengeluarkan memo kepada semua 121 ahli gabungan bagi menyatakan keputusan yang sudah diambil semasa mesyuarat jawatankuasa eksekutif kelapan termasuk memaklumkan mengenai kemasukan 26 ahli yang baru.

7 November 2018

Satu mesyuarat yang dipengerusikan Pesuruhjaya Sukan diadakan dan turut dihadiri wakil daripada FAS, FAM dan juga Roslin Shariff bagi membincangkan mengenai perkara yang sedang berlaku.

Kedua-dua belah pihak mengemukakan hujah dan cadangan masing-masing dalam perbincangan tersebut dan akhirnya jelas bahawa Roslin Shariff gagal menunjukkan sebarang bukti yang beliau mempunyai korum permintaan bertulis bagi menganjurkan EGM itu.

8 November 2018

Roslin Shariff tetap meneruskan mesyuarat yang kononnya EGM di Hotel Nouvelle pada jam 8 malam dan FAS mendapat laporan berdasarkan sidang akhbar yang dijalankan oleh kumpulan terbabit bahawa mereka mempunyai 52 ahli.

9 November 2018

Oleh sebab yang demikian, Presiden, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama EXCO FAS tetap bertegas mesyuarat yang kononnya EGM itu tidak sah termasuk sebarang pelantikan dan keputusan yang diputuskan.

17 Disember 2018

Pejabat Pesuruhjaya Sukan memutuskan mesyuarat yang kononnya Kongres Luar Biasa (EGM) pada 8 November melanggar statut dan wujud beberapa keraguan maka ia adalah tidak teratur dan gagal mengikut proses.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Disember 2018 @ 12:09 PM