AMRI (kanan) ketuai serangan Johor DT bersama Safee.
AMRI (kanan) ketuai serangan Johor DT bersama Safee.
Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Karakter positif perlu ada pada setiap pemain Johor Darul Taa’zim (Johor DT) apabila turun menentang Al-Qadsia SC dalam saingan separuh akhir pertama Piala AFC di Stadium Mohammed Al-Hamad Hawally, Kuwait, awal pagi ini waktu Malaysia.

Malah pengendali Johor DT Mario Gomez tidak risau dengan taktikal bakal diterapkan selepas pemain didapati sudah memahami kehendak dan corak permainannya cuma apa yang merisaukan jika pemain cepat hilang arah dan kerap melakukan kesilapan mudah.

Katanya, walaupun tanpa kelibat Luciano Figueroa yang terpaksa diketepikan akibat penggantungan sekurang-kurang dua perlawanan akibat layangan kad merah, jentera serangan tetap ampuh menerusi gandingan Safee Sali dan Mohd Amri Yahyah.

“Luciano tidak dapat beraksi dan saya tidak gelisah kerana percaya Safee dan Mohd Amri mampu melaksanakan tugas itu, malah Leandro Velazquez juga sudah menunjukkan keserasian dengan corak permainan Johor DT.

“Saya tidak menafikan kekuatan Al-Qadsia SC yang dibarisi pemain hebat terutama pemain nombor 39 (Aziz Mashaan) dan pemain nombor 24 (Shehu Abdullahi) selain mereka juga sering beraksi dengan corak permainan pantas.

“Kita perlu mengimbangi kepantasan pemain Al-Qadsia SC dan selepas menonton rakaman video pasukan itu, apa yang boleh saya rumuskan corak permainan mereka menyamai taktik Johor DT,” katanya.

Gomez mungkin menggunakan formasi 4-4-2 yang disifatkan mampu mengimbangi kekuatan kelab dari Kuwait itu dengan Marcos Antonio dan Aidil Zafuan Abd Radzak bakal membentuk barisan pertahanan mantap.

Katanya, pemain bek kiri Asraruddin Putra Omar tampak sudah pulih daripada kecederaan namun belum pasti sama ada dia mampu beraksi dalam kesebelasan utama.

Beliau menambah, posisi tengah juga perlu lebih kemas dan menagih keberkesanan gandingan Hariss Harun dan kapten Safiq Rahim untuk menjana gerakan untuk barisan serangan menggempur benteng lawan.

“Hanya Nazrin Nawi dan Junior Eldstal terpaksa diketepikan akibat kecederaan manakala kesemua 20 pemain yang saya bawa untuk saingan separuh akhir pertama ini berada dalam tahap kecergasan memuaskan.

“Setiap pemain ada tugas masing-masing dan mereka perlu fokus tanpa membuat kesilapan mudah kerana misi kita sekurang-kurang mencatat keputusan seri. Andai menang keputusan itu bonus buat kami,” kata Gomez.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2015 @ 5:41 AM