ASHLEY-COOPER (kiri) sudah mewakili Australia 121 kali.
ASHLEY-COOPER (kiri) sudah mewakili Australia 121 kali.

London: Scotland mungkin tambah bersemangat berikutan ketiadaan Ross Ford dan Jonny Gray yang digantung daripada menyertai suku akhir ragbi Piala Dunia, kata pemain sayap Australia Adam Ashley-Cooper.

Ford dan Gray digantung tiga minggu kerana melakukan kekasaran sekali gus menjadikan usaha Scotland untuk mengatasi Wallabies di Twickenham menjadi semakin sukar.

“Peluang itu mungkin digunakan pengganti kedua-dua pemain itu untuk mencuri tumpuan,” kata Ashley-Cooper.

“Sudah tentu mereka mahu mempamer kebolehan, membuatkan pasukan mereka bangga. Ia mungkin mencetuskan lebih bahaya buat kami. Pemain yang menggantikan pemain sedia ada biasanya sukar dijangka.”

Ashley-Cooper akan muncul pemain ketiga yang paling banyak mewakili negaranya apabila dia turun menentang Scotland nanti.

Dia akan menduduki tangga ketiga di belakang George Smith yang sudah mewakili Australia sebanyak 122 kali.

Selepas layak ke suku akhir menerusi kumpulan sukar yang turut menempatkan England dan Wales, Ashley-Cooper berkata Wallabies sudah tentu memiliki kelebihan di peringkat kalah mati.

“Kami mengharungi setiap perlawanan seolah-olah ia adalah aksi kalah mati. Kami perlu menganggapnya sebagai kalah mati kerana lihat saja betapa sukarnya kumpulan kami,” kata pemain berusia 31 tahun itu.

“Scotland mahu bermain untuk rakyat negara mereka. Saya pernah mengharungi kesukaran bertemu mereka sebelum ini. Anda sama sekali tidak boleh memandang rendah keupayaan pasukan seperti itu.” - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2015 @ 6:45 AM