AKSI Yato ketika melakukan try di  Sapporo Dome. - FOTO Reuters
AKSI Yato ketika melakukan try di Sapporo Dome. - FOTO Reuters
Reuters

FIJI perlu mengatasi keletihan menjelang pertembungan dengan Uruguay pada Rabu ini selepas tewas kepada Australia semalam, menurut jurulatih, John McKee.

Fiji hampir mencipta kejutan terbesar dalam sejarah Piala Dunia apabila mereka mendahului sembilan mata pada babak kedua permainan sebelum skuad Wallabies bangkit dengan kemenangan 39-21 dalam aksi Kumpulan D di Sapporo.

Situasi Fiji menjadi lebih sukar apabila mereka kehilangan Peceli Yato akibat kecederaan untuk aksi berdepan Uruguay di Kamaishi.

Yato pengsan selepas dikasari pemain sayap Wallabies, Reece Hodge pada minit ke-26. Pemain Clermont itu menjadi nadi permulaan baik Fiji menerusi beberapa ‘try’ dan larian kencang tetapi pegawai perubatan mendapati dia perlu berehat seketika.

Ketika pemain dan pegawai Fiji membantah ‘tackle’ Hodge, pegawai perlawanan menganggap tiada kesalahan dilakukan walaupun pengguna media dan pengulas sukan mengkritik tindakan itu.

Selain Yato, seorang lagi ‘foward’, Viliame Mata turut tidak pasti diturunkan untuk aksi menentang Uruguay, menurut McKee yang menyasarkan pasukannya muncul pasukan pertama dari Kepulauan Pasifik mara ke saingan kalah mati sejak edisi 2007.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 12:40 PM