CHEIKA (tengah) beri arahan kepada pemain ketika sesi latihan.
CHEIKA (tengah) beri arahan kepada pemain ketika sesi latihan.
AFP

London: Jurulatih Australia, Michael Cheika menegaskan tahap kesediaan mental pemain Wallabies perlu ditingkatkan menjelang pertemuan menentang Argentina pada separuh akhir Ragbi Piala Dunia selepas hampir dikecewakan Scotland pada suku akhir sebelum ini.

Cheika berkata, beliau tidak menyediakan pemainnya dengan baik ketika suku akhir yang menyaksikan mereka menang menerusi penalti kontroversi.

“Saya sedia memikul tanggungjawab untuk pasukan selepas mereka tidak bermain pada tahap sepatutnya, Ahad lalu,” kata Cheika.

“Sebagai jurulatih, saya membiarkan mereka terlalu banyak berfikir. Saya membiarkan mereka berfikir mengenai apa yang berlaku ketika kami menentang Wales dan England. Sepatutnya saya tidak membenarkan mereka berbuat demikian sebaliknya hanya menumpukan perhatian kepada kekuatan gerakan scrum Scotland.”

Scotland yang tewas semua lima perlawanan pada kejohanan Enam Negara tahun ini, hampir mengecewakan Australia dan Wallabies diselamatkan menerusi penalti kontroversi pada minit akhir yang disempurnakan Bernard Foley untuk kedudukan 35-34.

Pada aksi kumpulan, Australia kelihatan cukup gagah apabila mengalahkan England (33-13) dan Wales (15-6) tetapi melakukan banyak kesilapan ketika bertemu Scotland.

“Sebagai jurulatih, saya tidak melakukan kerja yang sepatutnya dalam menyiapkan pasukan dan saya tidak akan mengulangi lagi kesilapan seperti itu,” katanya.

Cheika yang berjaya membangkitkan semangat Wallabies hingga membolehkan mereka mengimpikan untuk merangkul gelaran dunia buat kali ketiga berkata, beliau menjangkakan anak buahnya pasti sedar dengan kesilapan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2015 @ 7:52 AM