PEMAIN tengah Scotland, Billy Gilmour (kanan) bersama rakan sepasukan selepas seri dengan England, Sabtu lalu. FOTO
PEMAIN tengah Scotland, Billy Gilmour (kanan) bersama rakan sepasukan selepas seri dengan England, Sabtu lalu. FOTO
AFP

Glasgow: Impian Scotland mara ke pusingan kalah mati di kejohanan antarabangsa utama buat kali pertama terganggu dengan pengumuman pemain tengah Chelsea, Billy Gilmour positif Covid-19.

Jarang berlaku kehilangan seorang pemain yang baru kali pertama beraksi bersama skuad senior negara, begitu merisaukan.

Pemain berusia 20 tahun itu melangkah keluar dari Stadium Wembley, Jumaat lalu sebagai pemain terbaik perlawanan dengan aksi lebih baik berbanding bintang Liga Perdana Inggeris ketika Scotland menghidupkan kempen Euro 2020 dengan seri 0-0 menentang England.

Anak buah Steve Clarke mesti menang ke atas Croatia di Hampden Park, esok untuk meneruskan harapan layak ke pusingan kalah mati.

"Kami selalu melakukannya dengan cara sukar, cara biasa dilakukan Scotland," kata pemain tengah, John McGinn selepas Scotland tewas 2-0 menentang Republik Czech pada aksi sulung kejohanan utama pertama dalam tempoh 23 tahun.

Apa yang melegakan Clarke adalah tiada pemainnya yang dikuarantin sekalipun menjadi kontak rapat kepada Gilmour.

Semua 25 baki pemain terus berlatih, hari ini selepas berita pemain itu positif Covid-19 tersebar.

Sementara itu, tiga tahun selepas mengejutkan Argentina dan England untuk layak ke final Piala Dunia 2018, Croatia mengalami nasib sama dengan Scotland apabila hanya mengumpul satu mata daripada dua perlawanan.

Tanpa dua bintang yang sudah bersara dari pentas antarabangsa iaitu Ivan Rakitic di bahagian tengah dan ketajaman Mario Mandzukic, Croatia jelas seperti hilang punca.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 11:07 PM