AFP

London: Saingan untuk merebut tempat menjadikan Australia lebih agresif, kata Bernard Foley yang muncul wira ketika mereka menundukkan England pada aksi Piala Dunia dan persembahan yang dipamerkan pada pertemuan itu membuatkan Wallabies kini dilabel pilihan untuk bertemu New Zealand di final.

Foley dan semua rakan sepasukannya bagaimanapun tegas mengatakan bahawa mereka hanya mahu menumpukan perhatian kepada pertemuan menentang Wales bagi menentukan juara Kumpulan A, Sabtu depan.

Begitupun, ramai peminat sudah mula memperkatakan soal pertemuan Wallabies-All Blacks di Twickenham, 31 Oktober ini.

Pemain fly-half skuad Waratahs itu mengaku dia tidak tahu menahu bahawa namanya bakal mengisi senarai teratas untuk menyarung jersi nombor 10 Australia sebelum Piala Dunia bermula.

Tetapi kejayaannya menghasilkan 28 mata untuk membunuh perjuangan England, Sabtu lalu pantas melonjakkan namanya selaku pemain yang paling diperhatikan ketika ini.

“Saingan untuk merebut tempat banyak membantu kami beraksi dengan cemerlang,” kata Foley.

Dia adalah antara pemain yang dibawa masuk selain corak scrum diubahsuai jurulatih Michael Cheika untuk mengukuhkan cabaran Wallabies kali ini.

“Saingan dalam setiap sesi latihan serta keinginan seluruh anggota pasukan membuatkan pasukan kami berada dalam kedudukan baik ketika ini,” kata pemain berusia 26 tahun itu yang perlu bersaing dengan Quade Cooper untuk mendapat tempat di posisi fly-half.

Tetapi Foley berkata, Australia tidak boleh terlalu selesa selepas membenam cabaran England walaupun kejayaan itu memberikan mereka lebih keyakinan.

“Kami perlu bimbangkan Wales minggu ini dan mana-mana pasukan yang bakal kami temui selepas itu. Kami akan menghadapi musuh satu demi satu,” kata Foley.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2015 @ 6:32 AM