Twickenham, England: Adam Ashley-Cooper (gambar) menyumbat try hatrik ketika Australia membenam Argentina 29-15 kelmarin bagi menempah final Ragbi Piala Dunia kali pertama menentang musuh lama New Zealand.

Pumas bangkit untuk menghidupkan peluang mereka dan jurulatih Daniel Hourcade menangis terisak-isak di bangku penonton Twickenham selepas kempen mereka ditamatkan oleh Wallabies.

Jurulatih Australia, Michael Cheika berjanji pasukannya akan lebih mantap sebelum berdepan New Zealand, yang menewaskan Afrika Selatan 20-18 pada separuh akhir Sabtu lalu, di Twickenham.

“Saya fikir kami perlu lebih meningkat kerana ia amat penting,” ujar Cheika.

Australia mendahului 19-9 pada babak pertama selepas try awal Rob Simmons diikuti dua lagi try Ashley-Cooper.

Try ketiga Ashley-Cooper, 10 minit sebelum tamat selepas larian menakjubkan Drew Mitchell, memastikan kemenangan buat penyandang juara Kejuaraan Ragbi hemisfera selatan itu.

Dalam satu try terbaik pada kejohanan itu, Mitchell menerima bola dalam kawasannya sendiri sebelum meluru dengan larian pantas mengelirukan.

Dia mengatasi empat pemain Pumas dan ketika berdepan seorang pertahanan terakhir dia mengumpan kepada Ashley-Cooper bagi memastikan try kemenangan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2015 @ 9:57 AM