LOWRY menjalani latihan bersama rakan sepasukan. FOTO Johor Southern Tigers
LOWRY menjalani latihan bersama rakan sepasukan. FOTO Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak memandang rendah kemampuan Melaka United FC (MUFC) apabila kedua-dua pasukan bertembung pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, malam esok.

Pengendali JDT, Benjamin Mora menganggap aksi menentang skuad kendalian Zainal Abidin Hassan tetap sukar walaupun pada aksi pusingan pertama JDT menang 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim, 2 April lalu.

Katanya, akan berlaku rombakan kecil kerana beberapa pemain yang sering berada di bangku simpanan kemungkinan akan diturunkan.

"Sudah tentu ia perlawanan sukar. Melaka United sentiasa mahu tewaskan JDT tapi kami tahu betapa pentingnya perlawanan itu dan kami akan turun dengan kesebelasan terbaik untuk pastikan kemenangan memihak JDT.

"Kami juga meletak sasaran jika menang dalam dua atau tiga perlawanan, kejuaraan liga untuk musim kelapan berturut-turut semakin hampir namun kami tidak mahu beri tekanan kepada setiap pemain, biar mereka beraksi seperti biasa mengikut perancangan taktikal.

"Apapun, kami harus fokus satu demi satu perlawanan kerana ia penting dan perlu waspada dengan pasukan lawan yang sudah tentu tampil dengan corak permainan berbeza terutama menentang JDT," katanya.

Ditanya sama ada Shane Lowry yang beraksi konsisten sejak penampilan pada saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) pada awal Julai dan bersambung pada saingan Liga Malaysia (Liga M), Mora menegaskan pemain kelahiran Australia begitu konsisten mengemudi benteng pertahanan.

Malah katanya, Lowry tampak tidak kekok bergandingan dengan Mauricio Dos Santos dan Adam Nor Azlin pada pertembungan menentang UiTM FC, Selangor FC dan Perak FC apabila berjaya membentuk keampuhan benteng JDT.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Ogos 2021 @ 3:01 PM