Oleh Bashah Zainol Abidin


Alor Setar: “Saya tidak sabar beraksi selepas sekadar menjadi penonton ketika Kedah mengharungi empat perlawanan Piala Malaysia musim ini,” kata pemain tengah Syazwan Tajudin Syazwan yang mengalami kecederaan pergelangan buku lali sebelum Piala Malaysia musim ini bermula, sudah mula menjalani latihan bersama rakan sepasukan.

Dia juga beraksi 90 minit ketika berdepan Perak di Ipoh pada perlawanan persahabatan.

Menurutnya, berada di tepi padang ketika rakan sepasukan beraksi memang menyakitkan tetapi apakan daya kecederaan sesuatu yang terpaksa dihadapi setiap pemain bola sepak.

“Kini saya sudah bersedia secara mental dan fizikal untuk membantu Kedah mengatasi Terengganu di Kuala Terengganu Sabtu ini.

“Kami sedar perlawanan di Gong Badak amat penting kerana kemenangan pasti akan mengukuhkan harapan ke suku akhir Piala Malaysia musim ini ketika pasukan lawan juga perlu mencari kemenangan untuk mencerahkan peluang mereka. Sudah pasti perlawanan ini akan menjadi penunjuk arah kedua-dua pasukan,” kata Syazwan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2015 @ 7:43 AM