ZAMBRI (kiri) bersama pembantunya menunjukkan produk Walit Roselle yang memenangi anugerah inovasi.
ZAMBRI (kiri) bersama pembantunya menunjukkan produk Walit Roselle yang memenangi anugerah inovasi.
Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Syarikat pengeluar minuman Bumiputera berasaskan burung walet, Olley Food Industries (OFI), menyasarkan jualan 10,000 botol sebulan produk minuman Walit Roselle pada akhir tahun ini.

Pengurusnya, Zambri Abu berkata, produk itu dikeluarkan bermula awal tahun ini menggunakan jenama Olley dan kini mendapat sambutan menggalakkan khususnya dari pengguna di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Beliau berkata, produk itu dihasilkan dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta diproses di kilang milik agensi di Johor Bahru, Johor memenangi tempat pertama kategori inovasi pada sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Sembilan 2015 (HPPNNS 2015) yang berlangsung di Kompleks Belia dan Sukan Paroi, baru-baru ini.

“Melalui kajian pegawai penyelidik MARDI terhadap kandungannya terbukti minuman itu sesuai untuk kesihatan, malah mendapat sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),” katanya.

Dia memulakan perniagaan pada 2011 melalui pengalaman berkhidmat dengan syarikat burung walet di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Menurutnya, sebelum ini syarikatnya mengeluarkan produk Walit Strong sejenis minuman tenaga yang mengandungi sarang burung walet, madu dan gula batu pada pertengahan tahun lalu.

“Saya merancang untuk mengeluarkan lebih banyak produk minuman berasaskan burung walet secara berperingkat pada masa depan kerana ketika ini sambutan dari orang ramai begitu memberangsangkan selepas mereka mengetahui khasiatnya.

“Saya akan terus berusaha gigih bagi mengeluarkan produk bermutu tinggi untuk keperluan umat Islam,” katanya.

Zambri akui sokongan dan bantuan agensi lain antaranya Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Jabatan Pertanian Negeri Sembilan (JPNS) dan Jabatan Veterinar Negeri Sembilan (JVNS), banyak membantu mengembangkan lagi perniagaannya itu.

Katanya, ketika ini syarikatnya beroperasi di Pusat Pemasaran OFI, di Balai Informasi JPNS di Seberang Batu Hampar, Rembau.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2015 @ 6:54 AM