Antara suspek yang ditahan. FOTO Melvin Joni
Antara suspek yang ditahan. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni


Kota Samarahan: Sekumpulan enam lelaki ditahan semalam dan hari ini dalam serbuan berasingan selepas dipercayai terbabit dengan kegiatan memecah masuk rumah sarang burung walit di Asajaya, di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan Deputi Superintendan Sudirman Kram berkata, penahanan kesemua suspek susulan tangkapan pertama membabitkan seorang daripada mereka ketika memecah masuk sebuah rumah burung walit di Kampung Jemukan Ulu, di sini, 2.30 pagi semalam.

Katanya, kegiatan suspek disedari pemilih rumah sarang burung walit berkenaan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) dan terus menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan.

"Bertindak atas maklumat berkenaan, anggota unit peronda (MPV) bergegas ke tempat kejadian dan berjaya mengepung dan menangkap seorang lelaki, manakala seorang lagi rakannya berjaya melarikan diri.

"Suspek berusia 23 tahun dari Kampung Sadong Jaya itu memecah masuk rumah sarang burung walet berkenaan dengan memecahkan dinding menggunakan tukul besi," ," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sudirman berkata, soal siasat terhadap suspek susulan tangkapan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Samarahan melakukan serbuan ke atas tiga tempat berasingan di Asajaya, pada 5.30 pagi hari ini dan menangkap lima lagi lelaki.

Katanya, kesemua suspek berusia dalam lingkungan 20 hingga 29 tahun itu disyaki terbabit dengan jenayah pecah rumah sarang burung walet di Asajaya dan polis percaya penahanan mereka dapat menyelesaikan beberapa lagi kes pecah rumah dan curi sarang burung walet yang dilaporkan sebelum ini.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan kesemua suspek dihadapkan ke hadapan majistret di Kota Samarahan untuk permohonan reman bermula esok bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2020 @ 4:32 PM