ZAMRI (tiga dari kiri) bersama kakitangan yang menjadi penggerak syarikat.
ZAMRI (tiga dari kiri) bersama kakitangan yang menjadi penggerak syarikat.
Mohd Amin Jalil

Bermula secara kecil-kecilan menjual produk minuman sarang burung walet tujuh tahun lalu, Zamri Abu, 34, mengorak langkah meningkatkan perniagaannya.

Kini beliau membabitkan diri dalam tanaman dan pengeluaran produk berasaskan buah pokok roselle atau nama saintifiknya, Hibiscus sabdariffa.

Walaupun pernah rugi lebih RM20,000 kerana ditipu, ia tidak mematahkan semangatnya terus maju dalam bidang perniagaan.

Malah, usahawan yang menetap di Taman Bandar Senawang, Negeri Sembilan ini terus menempa kejayaan apabila mengeluarkan empat produk iaitu kordial roselle, minuman roselle, teh roselle dan minuman sarang burung walet.

“Banyak halangan dan rintangan pernah saya lalui ketika mula mengusahakan bidang ini termasuk ditipu, tetapi saya tidak mahu menoleh ke belakang, sebaliknya terus berusaha gigih memajukan perniagaan.

“Saya menubuhkan syarikat Olley Food Industries (Olley) lima tahun lalu sebagai landasan untuk terus mengembangkan perniagaan.

“Alhamdulillah, melalui sokongan ahli keluarga serta rakan, usaha ini sudah menampakkan hasil. Selain mengeluarkan produk, saya juga mengusahakan ladang roselle seluas enam hektar,” katanya di ladang rosellenya di Kampung Semin, Rembau.

Zamri berkata, beliau mula tertarik mengusahakan ladang roselle dan mengeluarkan produk daripada buah itu susulan promosi dan galakan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).

Bapa kepada empat anak berusia tiga hingga sembilan tahun itu berkata, roselle dikenal pasti sebagai tanaman industri berpotensi untuk dikembangkan menjadi sumber ekonomi sama ada melahirkan usahawan atau menyelamatkan tanah terbiar.

Berikutan itu, beliau memanfaatkan peluang itu dengan kerjasama pemilik tanah bagi mengusahakan tanaman roselle yang setakat ini seluas enam hektar di sekitar Rembau dan Alor Gajah, Melaka.

Menurutnya, usaha itu bagi memastikan beliau mempunyai bekalan buah roselle mencukupi bagi tujuan mengeluarkan produk.

“Sebelum ini, saya terpaksa mendapatkan bekalan roselle kering dengan membeli daripada pihak lain. Langkah itu kurang berkesan kerana mahal berbanding jika dapat mengusahakan tanaman sendiri.

“Justeru, saya mula menanam pokok roselle pada awal tahun ini dan kini sudah menghasilkan buah yang segar dan bermutu.

“Tambahan pula, kerja menanam roselle tidak terlalu rumit dan perkara penting yang perlu diberi perhatian ialah memastikan air tidak bertakung dan kerja penuaian perlu dibuat dengan teliti untuk memastikan ia tidak rosak terutama pada bahagian kaliks buah,” katanya.

Zamri berkata, tanaman yang diusahakannya itu bagaimanapun belum mencukupi kerana hanya mampu mengeluarkan dua hingga tiga tan buah sebulan berbanding lima tan yang diperlukan syarikatnya.

Beliau berkata, pemilik tanah yang menjalinkan kerjasama dengan syarikatnya berpeluang berkongsi keuntungan kerana harga ladang roselle sekitar RM3 hingga RM5 sekilogram.

“Buah roselle mencapai tahap matang dan boleh dipetik dalam tempoh antara dua setengah hingga tiga bulan. Jangka hayat pokok pula boleh bertahan sehingga enam bulan. Biasanya sepokok roselle mampu mengeluarkan buah sehingga empat kilogram,” katanya.

Beliau yang turut menjual anak benih roselle berkata, semua aktiviti memproses produk berkenaan dibuat di pusat operasi di Kompleks Pertanian Jabatan Pertanian Daerah Rembau di Batu Hampar dan Chengkau, Rembau.

Menurutnya, Institut Penyelidikan Pertanian Persekutuan Malaysia (MARDI), Jabatan Pertanian Negeri Sembilan (JPNS) dan Lembaga Permasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) banyak membantunya terutama dari segi pengeluaran produk, khidmat nasihat bagi menghasilkan buah roselle bermutu tinggi selain aktiviti permasaran.

Beliau yang pernah mendapat bantuan modal daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) sebanyak RM20,000 tahun lalu berkata, sehingga kini, syarikatnya mampu memasarkan 30,000 botol kordial, 25,000 kotak tea roselle, 60,000 botol minuman roselle serta 3,000 botol minuman sarang burung walet roselle setiap bulan.

Katanya, produknya juga mendapat sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta pengiktirafan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

“Saya sudah menetapkan sasaran pemasaran mencecah sehingga 500,000 unit produk menjelang awal tahun depan dan yakin ia boleh dicapai,” katanya yang dibantu lapan pekerja.

Zamri berkata, produk keluaran syarikatnya mula memasuki pasaran di Brunei dan Singapura dua bulan lalu dalam kuantiti yang kecil, namun yakin dapat berkembang menerusi bantuan FAMA.

Selain itu, katanya, produknya turut dijual melalui beberapa ejen pemasaran dan stokis di seluruh negara serta promosi di karnival usahawan anjuran MOA dan FAMA serta Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Malaysia (MAHA) setiap tahun.

Beliau juga merancang memperbanyakkan produk berasaskan buah roselle seperti acar dan halwa.

“Saya bersyukur kerana usaha selama ini sudah menampakkan hasil selain dapat membantu serta berkongsi rezeki dengan orang lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2016 @ 8:24 AM