LEMANG sushi yang berinti di tengah-tengahnya.
LEMANG sushi yang berinti di tengah-tengahnya.

Bermula dengan mengeluar dan membekalkan makanan serunding daging, ayam, ikan bilis dan popia simpul 10 tahun lalu, kini Zuriati Sulaiman, 51, melebarkan lagi produk makanan tradisional Negeri Sembilan dengan memperkenalkan lemang sushi.

Lemang yang mempunyai inti adalah hasil inovasi terbaru keluaran syarikatnya, Awie Enterprise (Awie), yang ditubuhkan sejak 2005.

Malah, dia adalah satu-satunya pengeluar produk berkenaan di negara ini yang mendapat pengiktirafan daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Zuriati berkata, idea menghasilkan lemang sushi daripada suaminya, Azizi Abd Muin, 55, mula dicetuskan pada awal Oktober tahun lalu, namun sudah beberapa kali dinaik taraf sebelum dipasarkan sepenuhnya, Januari lalu.

“Hanya konsep sushi diguna pakai dalam menghasilkan lemang berkenaan, namun proses pembuatannya masih kekal dengan cara tradisional iaitu menggunakan santan dan beras pulut biasa.

“Bagaimanapun lemang ini tidak menggunakan buluh, namun masih dibalut dengan daun pisang dan dibakar di dalam ketuhar khas hasil bantuan MARDI dan Jabatan Pertanian Negeri Sembilan (JPNS),” katanya ketika ditemui di Pusat Operasi Awie, di Pusat Pertanian Ampang Tinggi Tanjong Ipoh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Menurut usahawan bimbingan JPNS itu, lemang sushi boleh disejuk beku dan dimasak semula di dalam ketuhar gelombang mikro atau dikukus bagi mengekalkan rasa enak dan lembut.

Ibu kepada seorang anak lelaki tunggal itu berkata, terdapat beberapa pilihan inti yang digunakan dalam lemang berkenaan iaitu serunding daging, serunding ayam dan rendang daging Minang.

Katanya, dari segi fizikal, lemang sushi hampir sama dengan lemang biasa yang dibakar menggunakan buluh kerana pulutnya padat dan inti di tengah-tengahnya dimasukkan menggunakan teknik tertentu tanpa bercampur dengan pulut.

“Bagi memastikan pengguna merasai pelbagai cita rasa, kami juga memperkenalkan pelbagai rasa lemang lain seperti lemang perisa jagung, pulut hitam, durian, asli dan nanas.

“Alhamdulillah, setakat ini lemang sushi menerima sambutan menggalakkan, malah kami tidak menang tangan kerana permintaan terlalu tinggi terutama dalam kalangan penduduk tempatan,” katanya.

Zuriati berkata, lemang sushi dikeluarkan bersaiz sembilan inci panjang memerlukan lima jam untuk mencapai tahap masak dan mereka membuat tiga pusingan sehari bagi memenuhi permintaan ramai.

“Sebanyak 130 kilogram (kg) santan RM1,200 diperlukan bagi pengeluaran antara 800 hingga 1,000 batang lemang sushi dalam seminggu.

“Saya juga memerlukan 30 kg daging mentah sehari bagi membuat serunding tidak termasuk ikan bilis dan bahan lain. Lemang sushi dipasarkan pada RM18 sebatang dan hingga kini 20 egen jualan dilantik di seluruh negara bagi memasarkan produk berkenaan,” katanya.

Sambil dibantu lima pekerja, wanita dari Kuala Pilah itu bagaimanapun berkata, kuantiti jualan dijangka meningkat setiap kali musim perayaan.

Usahanya yang bersungguh-sungguh mengembangkan produk makanan tradisional negeri Adat Perpatih itu nyata membuahkan hasil apabila dia memenangi beberapa anugerah peringkat kebangsaan dan negeri.

Antaranya mendapat johan Projek Pengembangan Veterinar Industri Asas Tani Peringkat Kebangsaan 2012, johan serunding ikan bilis pada Hari Peladang Penternak dan Nelayan (HPPNK), Negeri Sembilan 2014 serta juara produk komersial kategori mikro popia mini MAHA 2016.

“Lemang sushi sudah dicalonkan bagi kategori inovasi peringkat kebangsaan tahun ini,” katanya yang terhutang budi kepada MARDI, JPNS dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) kerana banyak membantunya mengembangkan perniagaan diceburi. - Mohd Amin Jalil

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2017 @ 11:29 AM