ANTARA kek yang menjadi kesukaan pelanggan.
ANTARA kek yang menjadi kesukaan pelanggan.
Oleh Siti Zarinah Sahib

Hampir tiga jam bertamu di kafe Cake Jalan Tiung di Seksyen 9, Shah Alam, Selangor mata disajikan dengan pelbagai jenis kek dengan rasa dan hiasan berbeza.

Walaupun hanya menghidangkan kek, biskut serta minuman panas dan sejuk untuk pelanggan, kafe yang dekorasinya berkonsepkan sederhana dan santai tidak putus-putus menerima pengunjung terdiri daripada pelbagai usia dan bangsa.

Menurut pemilik kafe, Nur Shafinaz Abdul Rahman, 32, sejak beroperasi April 2015 lalu, Cake Jalan Tiung menerima kunju­ngan tetamu tanpa mengira waktu. Jika dulu kek dan biskut hanya dihidangkan untuk minum petang atau pada majlis tertentu, kini kemunculan kedai kopi moden atau lebih dikenali sebagai kafe hipster menjadi trend dalam kalangan warga kota.

“Ramai antara mereka ialah pelajar universiti, suri rumah yang singgah sementara mengambil anak pulang dari sekolah, pekerja pejabat yang menjadikan kafe sebagai lokasi bertemu sahabat atau membincangkan urusan perniagaan manakala ramai juga yang membeli untuk dibawa pulang.

“Ada yang datang pada waktu tengah hari selebihnya menghabiskan masa minum petang di sini. Ia seakan-akan menjadi gaya hidup warga kota yang ingin berehat sambil menikmati secangkir kopi bersama sepotong kek,” katanya.

Memulakan penjualan kek menerusi alam maya, jelas Nur Shafinaz, minat terhadap manisan bermula sejak sekolah rendah. Apabila usia makin meningkat dia mula membuat kek untuk keluarga dan suami yang sememangnya penggemar hidangan manis. Lama-kelamaan atas cadangan suami, Nur Shafinaz mula mempromosikan air tangannya kepada rakan pejabat, saudara-mara dan jiran tetangga.

Tidak sangka ramai memberikan komen positif sehingga dia memberanikan diri melepaskan jawatan di syarikat perbankan untuk membuka perniagaan makanan. Ingin lari daripada konsep kebanyakan kafe yang menyediakan masakan Barat seperti pasta, piza dan manisan, Nur Shafinaz dan suami Hidzad Lahuree, memberikan tumpuan kepada hidangan kek semata-mata bersama kopi dan jus.

Keistimewaan kafe Cake Jalan Tiung pada menu yang disajikan kerana memberikan tumpuan kepada kualiti rasa berbanding hiasan ditampilkan. Menyedari cita rasa pelanggan yang gemarkan kek sederhana tanpa unsur sarat hiasan, Nur Shafinaz mengaplikasikan pada setiap kek yang dihidangkan.

Malah untuk setiap resipi, dia menokok tambah bahan digunakan sesuai dengan selera masyarakat Malaysia iaitu dengan me­ngurangkan kemanisan­nya. Misalnya kek coco chanel menggunakan bahan tropika seperti kelapa dan mangga, selain kek teh tarik dan pandan gula Melaka yang mendapat reaksi berbeza pelanggan kerana rasanya serta berunsur kemelayuan.

Merasai sendiri kek yang dihidangkan, sememangnya ia cukup memberikan rasa berbeza. Sedap, cukup rasa dan segalanya serba sempurna. Ia menggambarkan hasil tangan Nur Shafinaz yang mempunyai bakat semula jadi sebagai cef.

Ditanya dari mana datangnya bakat dalam bidang masakan ini, jelasnya dia rajin menonton YouTube, mencari resipi terkini menerusi Internet dan membeli buku masakan. Apa yang dilihat dan dibaca kemudian digabungkan menerusi pengalaman, cita rasa sendiri untuk mendapatkan kek yang hebat dan disukai ramai.

Walaupun mempunyai tiga pekerja tetap dan seorang sambilan yang berkemahiran membuat kek, bagi menghasilkan resipi serta kualiti rasa yang sama, Nur Shafinaz memantau setiap kek yang dihasilkan pekerjanya. Pada hari biasa, sebanyak 10 hingga 15 jenis kek terjual manakala pada hujung minggu bertambah kepada 20 jenis kek sehari. Kebanyakan pelanggan menggemari kek berperisa coklat seperti salted caramel & chocolate, triple chocolate dan Monkey Monster.

Nama unik digunakan seperti kek saudagar coklat, samseng kg pandan, cheese bedebah, after yoga dan 4c bagi memberikan kelainan atas setiap resipi yang dihasilkan.

“Nama ini sebagai tanda pengenalan pada setiap kek yang dihasilkan. Ia juga menjadi unsur jenaka bagi mereka yang baru kali pertama ke sini. Mereka bukan saja mengingati kerana rasa tetapi juga namanya,” katanya yang bakal menambah cawangan kedua di Seksyen 13, Shah Alam tidak lama lagi.

Selain dijual di kafe miliknya, Nur Shafinaz turut menghantar kek ke kafe lain sekitar Shah Alam serta menjual secara borong. Dia juga mengambil tempahan kek untuk majlis hari jadi atau keraian namun tempahan perlu dibuat dua minggu awal.

Walaupun tidak lagi berhadapan dengan kesibukan di pejabat, mempunyai perniagaan sendiri turut memberikan cabaran berbeza. Sebagai ‘tukang buat kek’ tidaklah semua kek yang dihasilkan menjadi seperti yang diinginkan. Ada ketika kek bantat dan paling sukar untuk menghasil­kan pavlova yang sempurna. Pernah juga kek tidak mencukupi dan tidak dapat menyediakan tempahan pelanggan.

“Disebabkan kek diminta mereka sudah habis atau tidak dapat disediakan bagi yang membuat tempahan, ada yang marah-marah. Ini kerana kami menjalankan perniagaan dalam skala yang kecil serta ingin menghasilkan kek segar yang dibakar setiap hari, oleh itu kami perlu menjaga kualiti kek,” katanya.

Menggunakan medium Instagram sebagai media pemasaran, setakat ini kebanyakan pengunjung ialah pelanggan setia yang mengikutinya sejak dia menjalankan perniagaan menerusi dalam talian. Mempunyai 30,000 pengikut di Instagram, Nur Shafinaz sentiasa memuat naik kek terbaru yang dijual di kafe pada setiap minggu. Dengan cara ini pelanggan mengetahui perkembangan menu harian terkini di Cake Jalan Tiung.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2015 @ 4:59 AM