SUASANA di resotoran milik Raffie Indulge by Coco.
SUASANA di resotoran milik Raffie Indulge by Coco.
RAFFIE sentiasa mendapatkan maklumbalas pelanggan mengenai rasa sajiannya.
RAFFIE sentiasa mendapatkan maklumbalas pelanggan mengenai rasa sajiannya.
BERSAMA dua pekerjanya yang sentiasa membantu pelancaran operasi Indulge by Coco.
BERSAMA dua pekerjanya yang sentiasa membantu pelancaran operasi Indulge by Coco.
TUGAS sebagai tukang masak dan pembuat kek di kafenya sendiri memberi pengalaman sebenar dalam perniagaan.
TUGAS sebagai tukang masak dan pembuat kek di kafenya sendiri memberi pengalaman sebenar dalam perniagaan.
RAFFIE meratakan coklat di atas kek yang dibuatnya.
RAFFIE meratakan coklat di atas kek yang dibuatnya.
NASI goreng chicken chop yang menjadi kegemaran pelanggannya.
NASI goreng chicken chop yang menjadi kegemaran pelanggannya.
Fatin Farhana Japre


Semangat dan keinginan untuk bersaing secara sihat menerusi bidang perniagaan mendorong anak muda, Wan Mohd Raffie Wan Yusof, 24, atau lebih mesra dipanggil Raffie mengusahakan kafe berkonsepkan makanan Barat dan pastri, Indulge By Coco di bandar Dungun, Terengganu.

Meminati bidang masakan dan bakeri serta pastri ketika menginjak usia remaja, Raffie mula merangka impian memiliki kafe sendiri dan ia menjadi kenyataan apabila dia kini bergelar usahawan muda.

Berkongsi kisah di sebalik kejayaannya, Raffie berkata, sebaik saja tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia terus memohon menyambung pengajian di Management and Science University, Shah Alam dalam bidang seni kulinari bagi mengasah bakatnya secara menyeluruh menerusi bidang ini.

Cabaran hidupnya bermula apabila tamat pengajian sekitar 2014 dan tidak menerima sebarang tawaran pekerjaan lebih kurang dua bulan.

Semangat juang tinggi dimiliki Raffie harus dijadikan contoh remaja lain kerana dia tidak gentar mengambil risiko.

Dia berbincang dengan ayahnya bagi meminjam wang untuk dijadikan modal perniagaan.

“Bukan mudah sebenarnya untuk memiliki kafe sendiri kerana banyak perkara yang dipertaruhkan bukan saja dari segi modal, bahkan masa dan tenaga. Bayangkan dalam masa dua bulan saja saya melakukan persiapan untuk membuka kafe dan sukar mendapatkan pekerja bagi membantu pelancaran operasi.

“Oleh itu, saya mengambil keputusan menjadi tukang masak dan pembuat kek di kafe kepunyaan sendiri. Sekurang-kurangnya saya dapat merasai sendiri kesusahan bermula dari bawah dan lebih menghargai setiap hasil tangan saya yang dihidangkan kepada pelanggan,” kata anak sulung daripada empat adik-beradik ini.

Katanya lagi, kuasa media sosial seperti Facebook banyak membantunya untuk memperkenalkan kewujudan kafenya kepada orang ramai selepas hampir seminggu tidak mendapat sambutan walaupun sudah mengedarkan risalah.

“Ketika itu saya rasa hampir putus asa kerana tiada pelanggan yang mengunjungi Indulge By Coco tetapi apabila fikir segala pengorbanan dari awal yang sudah dilakukan, saya mencari alternatif lain iaitu pengiklanan di laman sosial Facebook.

“Sejak itu kafe saya semakin dikenali. Ramai pelanggan menyukai rasa sajian makanan Barat dan kek hasil tangan saya serta memuatnaiknya di Instagram,” kata anak kelahiran Terengganu ini.

Menariknya, segala sajian yang disediakan adalah olahan resipinya sendiri dan makanan pula dihidangkan menggunakan kuali leper untuk memberi keunikan tersendiri kepada pelanggannya.

Harganya sangat berpatutan iaitu serendah RM9.90 sehingga RM17.90 bagi setiap hidangan.

Antara menu yang menjadi pilihan pelanggan setianya ialah grilled chicken chop, samyang ramen chicken chop, nasi goreng chicken chop, spageti bolognese meatball dan spageti bolognese chicken chop. Kek pula ialah mango cheese cake, chocolate fudge, indulgence dan red velvet.

Setiap pagi Raffie akan ke pasar borong untuk membeli barangan basah bagi mengekalkan kualiti makanan dan memenuhi permintaan pelanggan yang mahukan hidangan segar setiap hari.

Lebih membanggakan, kini Raffie mampu menggaji tiga pekerja bagi membantu pelancaran operasi dari jam 11 pagi hingga 9 malam dan lebih 100 pelanggan yang mengunjungi kafenya setiap hari.

“Selepas raya, Indulge by Coco akan berpindah ke bangunan kilang berdekatan pasar besar Dungun supaya pelanggan boleh menikmati makanan dalam persekitaran yang selesa dan luas.

“Nasihat saya kepada Gen Y di luar sana, bagi mengusahakan sesuatu perniagaan memang bukan mudah tetapi yang penting adalah minat dan jangan mudah berputus asa. Sebenarnya kita tidak perlu mencari pengalaman di tempat orang kerana fasa kita nak bangunkan perniagaan yang banyak mengajar erti pengalaman sebenar.

“Selain itu, jangan fikir keuntungan semata-mata dan sentiasa mencari jalan untuk kembangkan lagi perniagaan sehingga mendapat tempat di hati pelanggan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2017 @ 7:11 AM