MENU ‘lamb shank’ punya keunikan rasa yang tersendiri.
MENU ‘lamb shank’ punya keunikan rasa yang tersendiri.
 BUTTERMILK Chicken.
BUTTERMILK Chicken.
 ASRUL Zamani bersama kakitangannya menunjukkan hidangan yang disediakan di kafe miliknya.
ASRUL Zamani bersama kakitangannya menunjukkan hidangan yang disediakan di kafe miliknya.
Muhammad Shalaby Shahbuddin


Menikmati sajian minum petang sambil bersantai dalam kafe berkonsepkan gaya Inggeris jelas mempunyai tarikan tersendiri, sekali gus memikat hati sesiapa saja yang baru pertama kali melangkah masuk ke Kafe Magnifique Cakes di Jalan Perniagaan Perda Barat, Bandar Perda, Bukit Mertajam.

Bukan itu sahaja, suasana dalaman kafe menggabungkan warna putih dan merah jambu di samping dekorasi keseluruhan kafe bersama sofa ditempah khas mampu menawan hati pelanggan terutama wanita serta pasangan kekasih untuk bersantai dalam jangka masa lama sambil menikmati hidangan disediakan.

Pemiliknya, Asrul Zamani Mohd Ismail, 46, berkata, Magnifique Cakes yang beroperasi sejak tiga tahun lalu adalah kafe istimewa mesti dikunjungi dan dipilih pelanggan untuk meluangkan masa bersama rakan atau keluarga menikmati sajian minum petang, makan tengah hari dan makan malam.

Beliau berkata, pelanggan berpeluang menikmati 10 jenis rasa kopi segar panas dan sejuk menggunakan biji kopi diimport dari Itali selain hampir 20 jenis kek serta biskut yang berasal dari Perancis iaitu Macarons sambil perkhidmatan WiFi percuma.

“Bagi mereka yang ingin menikmati minum petang boleh mencuba set minum petang (High Tea Set) bermula jam 3 petang hingga 7 malam merangkumi Pavlova, Macarons, ‘Finger Sandwiches’, Scones dan lain-lain lagi yang dihidangkan bersama satu teko kopi atau teh hanya berharga RM39.90 sesuai untuk empat orang.

“Malah rasa asli Ice Blended Chocolate Valhorna, Blueberry Smoothie dan Vanilla Oreo Milk Shake dan banyak lagi boleh dinikmati pada harga RM12.90 serta sembilan jenis mocktails pasti memberikan kepuasan sebenar kepada pelanggan,” katanya.

Asrul Zamani berkata, kafe berkenaan beroperasi dari jam 11 pagi hingga 11 malam kecuali Isnin dan pada awalnya hanya menumpukan kepada kek dan pastri saja sebelum turut menyediakan hidangan berat supaya menjadi pusat sehenti sesuai dengan permintaan serta kehendak pelanggan terutama pada waktu tengah hari dan malam.

Berikutan itu, katanya, mereka kemudian menyediakan makanan Barat seperti Braised Chicken Mushroom Sauce berharga RM23.90 yang mengetengahkan paha ayam dibakar selama 35 minit dengan keenakan rasa perapan sos cendawan pasti menambat selera pelanggan.

Menurutnya, hidangan istimewa lain iaitu ‘pan fried fish & creamy capers’ berharga RM22.90 menampilkan ikan dory disaluti sos krim putih bersama ‘capers’ menimbulkan rasa lazat dan masam seakan-akan jeruk.

“Malah, menu ‘lamb shank’ agak istimewa apabila paha daging kambing melalui dua proses iaitu dibakar dan dimasukkan dalam ketuhar, sekali gus membuatkan rasanya lebih lembut dan enak dinikmati bersama sos istimewa kami.

“Hidangan lain seperti bebola daging & kentang menggunakan 100 peratus daging diimport dari New Zealand dapat dinikmati dalam kuantiti lima atau lapan biji bebola daging dengan harga RM16.90 dan RM21.90 sahaja,” katanya.

Asrul Zamani berkata, bagi mereka inginkan menu bajet dengan portion memuaskan hati boleh memesan tiga jenis set nasi kombo seperti ‘buttermilk chicken’, ‘mushroom chicken’ dan ‘creamy garlic butter chicken’ masing-masing berharga RM14.90 selain pelbagai cita rasa lain seperti aneka sup, salad dan pasta.

Beliau berkata, keistimewaan pencuci mulut seperti banana fritters vanilla ice cream berharga RM12.90 yang menggabungkan rasa sejuk dan panas serta rangup dan makanan ringan Churros berharga RM9 mampu menjadi daya tarikan istimewa kepada pelanggan.

“Kafe ini mampu memuatkan 40 hingga 50 orang dalam satu masa dan turut menyediakan ruang khas untuk sambutan pelbagai jenis majlis yang sudah pasti memberikan keistimewaan dan keunikan tersendiri.

“Malah, kami juga menerima tempahan kek ‘custom made’ untuk hari jadi, pertunangan, perkahwinan dan pelbagai lagi yang pasti memuaskan hati,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2017 @ 12:27 PM