CARA pembukaan Gula Petite dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Datuk Husni Salleh.
CARA pembukaan Gula Petite dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Datuk Husni Salleh.
Siti Zarinah Sahib


Aroma kek pandan gula Melaka yang disediakan di kafe Gula Petite, IOI City Mall Putrajaya semerbak baunya. Ia bukan saja mengganggu ‘tumpuan’ tetapi membuatkan pengunjung tidak sabar menikmati keenakan pelbagai jenis kek dan manisan yang disediakan di situ.

Selain manisan, Gula Petite yang berkonsepkan kafe mini ini turut menyediakan sandwic dan minuman panas dan sejuk yang tentunya menampilkan cita rasa berbeza berbanding kafe sedia ada di Malaysia.

Ia bermula apabila pengasasnya, Nor Arieni Adriena Mohd Ritzal sewaktu kecil sering membantu nenek memasak dan membakar kek di dapur. Setiap kali menjelang Aidilfitri, Ariena menjadi pembantu dan teman rapat nenek di dapur sehingga dia mahir menyediakan kek dan biskut tanpa bantuan orang lain.

Oleh kerana minat mendalami pelbagai ilmu masakan sama ada secara formal atau praktikal dengan sokongan nenek, ayah dan ibu, Arieni memberanikan diri menjual kek kegemarannya menerusi dalam talian.

“Oleh kerana masih baru saya dibantu ibu, Nor Aini Muhid atau lebih dikenali sebagai Gula Mummy. Bersama-sama ibu kami menghasilkan resipi sendiri dengan aneka kek yang menjadi kegilaan pelanggan,” katanya memberitahu mereka pernah memecahkan rekod membuat aneka resipi selama 36 jam tanpa henti.

Kepercayaan yang diraih daripada pelanggan setia yang berpuas hati dari segi layanan dan rasa membuatkan mereka tampil dengan kafe Gula Cakery pada September 2015 berkonsepkan perniagaan keluarga. Pada penghujung 2015, kafe ini dinamakan sebagai salah satu kafe berkonsepkan kekeluargan terbaik di Kuala Lumpur oleh Time Out KL sehingga pengikut Instagramnya melonjak sebanyak 50,000 orang dalam masa kurang setahun.

Selepas setahun enam bulan kafe Gula Cakery beroperasi di Kota Kemuning, Shah Alam, kini perniagaan itu dikembangkan dengan pembukaan kafe kedua, Gula Petite di Putrajaya.

“Kami sangat gembira dan bersyukur dengan pembukaan Gula Petite dan berharap perniagaan ini akan terus berkembang dengan pembukaan lebih banyak cawangan di serata Malaysia pada masa hadapan,” katanya.

Tambah Arieni, menu kek di Gula Petite sama dengan Gula Cakery. Gula Cakery juga turut menyediakan menu makanan panas seperti nasi tomato ayam merah, karbonara berkrim dan ‘grilled chicken chop’ serta kelas bakeri kanak-kanak dan dewasa.

“Saya menganggap Gula Petite sebagai mini Gula Cakery. Di Gula Petite dan Gula Cakery, kami sediakan lebih 13 jenis kek setiap hari bagi memberikan kepelbagaian pilihan kepada pelanggan. Untuk cita rasa berbeza, setiap minggu kek akan ditukar bergantung kepada kesukaan pelanggan,” katanya.

Antara kek yang menjadi pilihan pembeli ialah kek pandan gula Melaka, kek double chocolate nutella, pavlova dan choux pastries.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2017 @ 11:54 AM