Mehmet mahu terus berkhidmat bersama Selangor. Foto NSTP
Mehmet mahu terus berkhidmat bersama Selangor. Foto NSTP

Kuala Lumpur: Mehmet Durakovic mengesahkan kepada Harian Metro melalui WhatsApp kekal sebagai ketua jurulatih Selangor musim depan.

Jurulatih berusia 50 tahun itu menutup mulut pengkritik apabila mengendali The Red Giants menjulang gelaran ke-33 Piala Malaysia, minggu lalu.

Durakovic sebelum ini meraih piala berprestij itu pada 1995, 1996 dan 1997 sepanjang empat tahun beraksi sebagai pemain.

Pencapaian meletakkannya selaku pemain dan pengurus pertama dari luar meraih empat Piala Malaysia.

Biarpun dipecat kelab Australia, Melbourne Victory pada 2012 tetapi prinsip tidak cepat berputus asa Durakovic membolehkannya mengembalikan aura gergasi Lembah Klang itu.

Malah beliau pernah menyatakan kesukaran ada di mana mana apabila didesak meletak jawatan sebelum kempen Piala Malaysia disebabkan prestasi kurang memberangsangkan pasukannya.

“Tiada siapa meletak kepercayaan kepada Selangor. Kami akhirnya dapat melakukannya menerusi semangat tinggi, percaya terhadap diri sendiri dan menjaringkan gol. Terima kasih kepada semua dan pemain”.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2015 @ 6:16 PM