myMetro

Kuala Lumpur: Sekurang-kurangnya lima muka baru dijangka bakal menyertai pasukan Selangor musim depan dengan bekas pengendali musim lalu, Mehmet Durakovic (gambar) turut difahamkan bakal memegang jawatan itu semula sebaik final Piala Malaysia berakhir 30 Oktober ini.

Menurut sumber rapat Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) itu, Durakovic yang disingkir daripada pasukan biarpun menghadiahkan Piala Malaysia pada musim lalu, difahamkan sudah mencapai persetujuan dan bersedia untuk kembali membimbing skuad Red Giants.

“Durakovic bakal mengisi kekosongan ditinggalkan Zainal Abidin Hassan sebelum ini dan kemungkinan beliau bakal dibantu K Gunalan.

“Berdasarkan persetujuan awal antara kedua-dua pihak, Durakovic jelas bersemangat dan gembira untuk bersama pasukan kembali selepas beliau dipecat sebelum ini.

“Lagipun, kesetiaan Durakovic tidak boleh dipertikaikan lagi apabila beliau sanggup menolak tawaran daripada pasukan lain sepanjang musim ini semata-mata mahu menanti panggilan FAS.

“Rasanya tidak ada sebab untuk persatuan mencari pengendali lain kerana beliau juga memiliki kualiti yang baik sebagai jurulatih. Malah Durakovic juga amat disenangi dikalangan pemain dan penyokong negeri ini,” kata sumber itu semalam.

Menerusi pendedahan itu, ia sekali gus mengenepikan dua lagi calon lain yang sebelum ini turut dikaitkan dengan Selangor.

Selain Durakovic, 51, FAS difahamkan turut berminat mendapatkan bekas jurulatih Kedah, Ramon Marcote dan bekas pengendali Bengaluru FC, Ashley Westwood.

Jelas sumber itu lagi, FAS juga merancang untuk membawa masuk lima pemain baharu bagi menguatkan cabaran pasukan itu namun segala-galanya bergantung kepada bajet persatuan yang akan diumumkan presiden nanti.

Antara nama yang dikaitkan ialah penyerang import Melaka, Ilija Spasojevic, pemain sayap Johor Darul Ta’zim II, Mohd Zaquan Adha Abdul Razak, tonggak depan FELDA United, Muhammad Hadin Azman, pemain lincah Kelantan, Wan Zack Haikal dan pertahanan kental Pahang, Matthew Davies.

“Ketika ini pasukan juga sedang berusaha memikat beberapa pemain baharu. Cuma belum dapat disahkan kerana bergantung kepada dana pasukan musim depan.

“Namun pengurusan pasukan sudah mula mengorak langkah awal untuk memancing mereka dan nampaknya mereka juga berminat untuk menyarung jersi Selangor. Jika tidak ada apa-apa halangan, insya-Allah kami akan tampil lebih bergaya musim depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Oktober 2016 @ 7:01 AM