DELMONTE (kiri) diasak Da Silva.
DELMONTE (kiri) diasak Da Silva.

Johor Bahru: Ketua jurulatih Johor Darul Taa’zim II (Johor DT II) Nenad Bacina berpuas hati dengan komitmen pemainya selepas menewaskan Kedah 3-2 pada saingan Kumpulan A Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, kelmarin.

Walaupun berdepan situasi sukar selepas penerbangan ke Alor Setar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ditangguhkan lebih empat jam, ternyata ia bukan penghalang untuk skuad Merah Biru melakar kejutan.

Malah Bacina lega selepas misi tiga mata untuk dibawa pulang membuahkan hasil berpunca daripada komiment tinggi dipamerkan pemain untuk mematahkan sayap skuad Helang Merah.

"Cukup mencabar buat pemain bukan saja beraksi pada perlawanan itu tapi sebelum turun padang lagi apabila kami terpaksa berdepan situasi memenatkan selepas perlu menunggu empat jam sebelum mendapat penerbangan ke Alor Setar.

“Bagaimanapun semangat pemain begitu kental apabila mengetepikan faktor kepenatan dan beraksi dengan corak permainan konsisten sehingga menang.

“Bacina berkata, tanpa kelibat Kamarul Afiq Kamaruddin kerana kecederaan memaksa rombakan kecil di benteng pertahanan dilakukan dengan gandingan Baihakki Khaizan dan Nicolas Delmonte berjaya memantapkan posisi itu bagi menghalang asakan skuad Helang Merah.

Beliau menambah, pemain Johor DT II membentuk persefahaman mantap apabila sering menghalang penguasaan tengah Kedah yang jelas hilang arah dan kesempatan itu digunakan sepenuhnya untuk menghukum benteng perlawanan lawan.

"Kami ada dua hari untuk membuat persiapan menentang Terengganu manakala pasukan itu berehat panjang selepas berdepan LionsXII,” kata Bacina.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2015 @ 6:18 AM