Nazri Abu Bakar


BEKAS pertahanan Johor, Azmil Azali (gambar) meramalkan skuad Harimau Selatan akan menewaskan Kedah 2-0 sekali gus menjuarai Piala Malaysia pada aksi final di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Menurutnya, walaupun perlawanan dijangka seimbang menerusi reputasi tinggi dan barisan berpengalaman Johor DT dengan cabaran bakal hadir daripada pemain muda Kedah namun ia tetap berkelebihan buat anak buah jurulatih Ulisses Morais.

Katanya, walaupun berdepan ujian getir namun dia masih yakin Harimau Selatan tetap mampu menjulang kejuaraan dengan semua pemain di setiap posisi memainkan peranan penting menafikan saingan skuad Helang Merah.

Bekas pemain Melaka pada 2003 yang beraksi bersama Johor dari 1992-2002 itu turut menamakan pemain kelahiran Argentina, Gabriel Guerra bakal menyerlah dan terpilih sebagai pemain terbaik perlawanan akhir.

“Keupayaan Guerra nyata menjadi nadi terpenting pada aksi final dan dia antara aset berharga buat skuad itu menerusi kemampuannya mengubah corak permainan dan tempo perlawanan.

“Malah dia juga memiliki strategi untuk memecah kubu lawan selain licik mencipta ruang melakukan hantaran dan menjaringkan gol,” katanya.

Anak jati Kampung Pulau Sebang, Melaka itu berkata, sebagai bekas pemain Johor yang kini menetap di bandar raya itu pastinya mahu melihat kegembiraan rakyat Johor meraikan kejuaraan musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2017 @ 10:31 PM