Oleh Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Johor Darul Ta’zim II (Johor DT II) tidak rela berputih mata sebaliknya meletak sasaran tiga mata mampu diraih apabila berdepan Kedah pada saingan Kumpulan A Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), malam esok.

Pengendali Johor DT II Nenad Bacina menyifatkan kekalahan tipis 1-2 kepada LionsXII bagaikan menyuntik semangat buat pemain untuk kembali bangkit dalam usaha memburu kemenangan pertama pada saingan peringkat kumpulan itu.

Katanya, pemain Johor DT II jelas kecewa dengan kekalahan itu dan berazam memburu kemenangan apabila menerima kunjungan skuad kendalian Tan Cheng Hoe yang kini mengungguli kumpulan itu.

“Pemain saya begitu kecewa dengan kekalahan itu namun apa yang lepas tidak guna dikenang, sebaliknya kami perlu menaman keazaman untuk bangkit melakar kemenangan.

“Saya tidak berdepan masalah membariskan kesebelasan terbaik selepas tiada pemain yang mengalami kecederaan atau penggantungan kecuali penjaga gol K Sasikumar yang semakin pulih akibat kecederaan lama.

“Kita pernah beri tentangan sengit kepada Kedah ketika aksi pusingan kedua Liga Perdana sebelum tewas 2-3 dan saya optimis kami akan turun beraksi dengan lebih agresif untuk menyekat penguasaan pasukan itu,” katanya.

Bacina juga menegaskan pemain Johor DT II perlu berwaspada dengan kelibat Liridon Krasniqi dan Sandro da Silva Mendonça yang menjadi tonggak utama skuad itu.

Katanya, kesebelasan pemain Johor DT II yang bakal diturunkan nanti harus mengambil kesempatan untuk bertindak pantas dengan corak permainan konsisten tanpa memberi ruang kepada lawan menguasai perlawanan.

“Kelebihan memihak kepada kami kerana beraksi di laman sendiri namun pemain juga tidak boleh terlalu selesa sebaliknya perlu sentiasa beraksi melebihi 100 peratus.

“Pada saingan liga kami menjaringkan 37 gol sekali gus membuktikan barisan serangan berupaya mencipta jaringan. Jadi, saya tidak mahu mereka ‘malu-malu’ untuk terus berbuat sedemikian berpeluang melakukannya,” kata Bacina.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2015 @ 5:22 AM