AZREEL  (kanan) bersama jurulatihnya Mohd Munzir Mustapha.
AZREEL (kanan) bersama jurulatihnya Mohd Munzir Mustapha.
Oleh Mohd Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Juara super heavyweight musim lalu, Azreel Izzat Al-Hadi yang mewakili pasukan Lekir dijangka berdepan cabaran lebih sengit menjelang Kejohanan Seni Mempertahankan Diri Wira Jati (F3) di Stadium Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur hujung minggu ini.

Azreel yang sebelum ini bertarung dalam kategori pertarungan gaya bebas silat, akan bertanding dalam kategori lain iaitu seni campuran (MMA) kali ini.

Biarpun mengakui kategori itu agak baru buatnya, anak kelahiran Ipoh itu tetap yakin mampu memenangi aksi itu sekali gus ingin menambah koleksi kejuaraannya.

“Jika sebelum ini saya berjaya memenangi kejuaraan dalam gaya seni silat, kali ini saya impikan kejuaraan MMA pula untuk menambah koleksi kejuaraan dalam karier saya.

“Istimewanya MMA berbanding silat, saya perlu menguasai tiga disiplin seni mempertahankan diri iaitu muaythai, tinju dan gusti. Memang sukar tapi saya puas dan sudah tidak sabar untuk turun ke gelanggang.

“Saya tidak kisah siapa lawan nanti, apa yang bermain di fikiran saya ketika ini adalah persediaan diri sendiri terutama mental dan fizikal menjelang pertarungan itu,” katanya semalam.

Sementara itu, menurut penganjur kejohanan F3, Mazuri Ismail, saingan yang kini memasuki siri ketiga dijangka lebih meriah dan penuh debaran menerusi kehadiran banyak nama besar.

“Selepas siri pertama dan kedua pada April dan Jun lalu, kali ini kami menyasarkan penyertaan hampir 150 peserta dengan membabitkan 50 pertarungan dalam tempoh dua hari.

“Saya jangka penonton di stadium termasuk barisan peninju yang mengambil bahagian tidak sabar beraksi di gelanggang. Saya harap penonton berpuas hati dan pada masa sama menjaga adab dan tatasusila semasa menyaksikan pertarungan,” katanya.

Menurutnya, tiket akan mula dijual Sabtu ini dengan harga bermula dari RM30 untuk dewasa manakala VVIP RM50.

Untuk maklumat lanjut boleh menghubungi Wan Zambri di talian 019-6978789 atau layari Facebook di F-3Championship.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2015 @ 5:33 AM