AKSI kumpulan putra sebelum membuat persembahan dalam pertandingan.
AKSI kumpulan putra sebelum membuat persembahan dalam pertandingan.
Masni Ros Pakir Mohamad

Bila sebut saja seni mempertahankan diri, silat, ramai kanak-kanak atau remaja masa kini kurang gemar menyertai aktiviti warisan ini. Mereka mendakwa seni silat tidak glamor berbanding seni mempertahankan diri yang lain.

Dalam usaha menghargai seni warisan dan budaya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Kemuning, Shah Alam menganjurkan Pertandingan Silat Seni dalam usaha mencari bakat baru. Ia adalah acara tahunan sempena sambutan Hari Malaysia.

Seramai 45 peserta terdiri daripada pelajar tadika, sekolah rendah dan menengah berumur antara 5 hingga 17 tahun menyertai pertandingan itu.

Jurulatih silat di SMK Kota Kemuning Nofal Sandra Sofyan berkata pertandingan itu dibahagikan kepada tiga kategori iaitu putra, putri dan terbuka dengan dibantu Helma Syuhada Helmy dan guru penasihat sekolah Noorrita Mohd Said.

KUMPULAN yang mengambil bahagian dalam Pertandingan Seni Silat.
KUMPULAN yang mengambil bahagian dalam Pertandingan Seni Silat.

Menurut Nofal Sandra, pertandingan itu terbukti berjaya apabila pelajar senior diberi tanggungjawab menganjurkan pertandingan dan secara tidak langsung melahirkan sifat kepemimpinan mereka selain menanam semangat jati diri, menghargai warisan dan budaya serta menyemarakkan semangat patriotik dalam diri peserta.

“Seni silat adalah warisan negara dan perlu sentiasa dijaga dan dipelihara supaya tidak hilang begitu saja. Ibu bapa memainkan peranan memberi pendedahan kepada anak untuk mempelajari seni silat,” katanya.

Bagi acara putra, peserta silat dikehendaki menunjukkan kepandaian dalan tari silat, solo pendekar dan tempur pendekar.

Manakala bagi acara putri pula, pertandingan merangkumi solo tari, solo srikandi dan tempur srikandi.

Katanya, pertandingan silat seni menampilkan kategori unik seperti silat Melayu, tempur berkumpulan, pendekar cilik dan battle of silat.

 KATEGORI pendekar cilik.
KATEGORI pendekar cilik.

Beliau berkata, silat Melayu dapat menampilkan ciri tradisi seni silat yang diperagakan dua pesilat manakala tempur berkumpulan pula menampilkan tiga hingga lima peserta beraksi menggunakan keadah silat tempur yang biasanya dimainkan dua peserta.

Selain itu, battle of silat menjadi tumpuan kerana julung kalinya dipertandingkan. Konsep yang menarik menjadikan penonton teruja dan mendapat sambutan hebat.

Peserta dinilai melalui kemantapan gerak, nilai estetik, kreativiti, penampilan dan adab dalam setiap kategori. Pertandingan seni silat ini berjaya ditampilkan dengan baik oleh semua peserta.

Katanya, mereka yang berusia antara lima hingga 12 tahun pula menunjukkan silat solo mereka dengan pelbagai lagu dan gerakan masing-masing.

Menurut Nofal Sandara, setiap peserta dinilai melalui kemantapan gerak, nilai estetik, kreativiti, penampilan dan adab dalam setiap kategori.

MOHD Radzlan menyampaikan hadiah kepada pemenang kategori berkumpulan.
MOHD Radzlan menyampaikan hadiah kepada pemenang kategori berkumpulan.

Peserta dibenarkan berpakaian bebas dan menampilkan gerakan silat diiringi lagu menarik bertemakan patriotik.

Katanya, pengasas dan pengetua Pertubuhan Silat Seni Gayung Fatani Antarabangsa (ISSGFO) Dr Aziwahija Yeop turut hadir dalam pertandingan itu.

Juri lain yang turut serta adalah jurulatih silat iaitu Inspektor Mohd Radzlan Yusri Yunus, Ruzi Abu Bakar dan Abdul Qayyum Mahamud.

Pertandingan seni silat ini menjadi lebih menarik apabila peserta mengenakan pakaian tradisional diiringi lagu patriotik.

Pesilat terbaik putra dimenangi Muhammad Isma Harith Shamsuddin manakala pesilat terbaik putri dimenangi Nurul Ainnabihah Mohd Asri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2017 @ 11:47 AM