DANISH menunjukkan aksi silatnya.
DANISH menunjukkan aksi silatnya.
Izlaily Nurul Ain Hussein

Senai: Jika kanak-kanak 18 bulan yang lain masih leka bermain dengan permainan malah ada yang baru pandai berjalan, berbeza bagi Nuh Danish Aqim Mohd Firdaus yang sudah dibawa ke gelanggang bagi mendalami ilmu persilatan Melayu.

Hasilnya, pada usia dua tahun, Nuh Danish sudah mula dijemput mengadakan persembahan silat bersama kumpulannya dan tidak hairanlah pada usianya kini mencecah lima tahun, dia mampu memukau mereka yang melihat aksinya.

Menurut ibunya, Titiek Sulastri Ardi, 29, biarpun suami dan bapa mentuanya adalah jurulatih silat bagi Pertubuhan Seni Silat Panglima Bugis Malaysia (PSSPBM), namun mereka tidak pernah memaksa Nuh Danish yang mesra dipanggil Danish itu mempelajari ilmu persilatan apatah lagi seawal usia terbabit.

“Saya membawanya ke gelanggang kerana latihan silat kami diadakan pada malam Khamis dan Jumaat. Kami tidak sangka, pada satu hari dia tiba-tiba ke tengah gelanggang dan meniru aksi bapanya ketika mengajar silat.

“Lama-kelamaan kami lihat dia semakin meminati seni silat ini dan dia pula dilihat lebih bersemangat setiap kali ada latihan atau pertunjukan.

“Sehingga kini, dia yang tidak sabar-sabar ke latihan dan kerap juga bertanya sama ada mempunyai jemputan untuk persembahan atau pertandingan yang boleh disertainya,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di gelanggang di Taman Aman, di sini, baru-baru ini.

Titiek Sulastri yang juga Pengurus PSSPBM berkata, dia dan suami, Mohd Firdaus Offu Daeng Hassan, 27, amat menyokong penuh minat Danish dan sering mendedahkan dengan persembahan silat serta pertandingan.

Katanya, walaupun Danish masih belum layak menyertai mana-mana pertandingan berikutan tiada kategori sesuai berdasarkan umurnya namun dia dikenali kerana sering menunjukkan aksi pembukaan sebelum rakan kumpulannya memulakan pertandingan.

Suri rumah itu berkata, di rumah, Danish hanya seperti kanak-kanak yang lain, gemar melukis dan bermain namun apabila di gelanggang, dia sangat fokus dan komited dengan minatnya dalam bidang seni silat itu.

Tidak cukup dengan mempelajari aksi seni silat, Titiek Sulastri berkata, Danish kini gigih mempelajari ilmu silat bagi kategori olahraga.

Sepanjang tempoh Danish menceburi bidang mempertahankan diri itu, dia pernah memenangi Anugerah Busana Terbaik pada Fiesta Kesenian Nusantara, Jun 2015 dan dipilih menggondol Anugerah Pesilat Muda Terbaik PSSPBM 2015.

Biarpun anugerah itu bukan anugerah yang tinggi, namun ia cukup menggembirakan hati Danish, malah menjadi pembakar semangatnya untuk terus menceburi bidang terbabit.

Ketika ditanya, Danish berkata, dia sangat seronok mendapat hadiah dan dia mahu mengajak kawannya mempelajari seni silat.

“Danish suka belajar silat. Danish nak ajak kawan belajar silat. Nanti, Danish ajar mereka,” katanya.

Pada usia yang muda, Danish dilihat matang dan mempunyai imaginasi tinggi kerana bergaul dengan orang dewasa.

“Danish belajar silat sampai boleh jadi cikgu macam ayah dan ajar semua orang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mei 2016 @ 8:51 AM