KILAT dapat dilihat di kem sementara pendatang di Tovarnik, Croatia.
KILAT dapat dilihat di kem sementara pendatang di Tovarnik, Croatia.
POLIS menghalang pendatang memanjat halangan di Rigonce di sempadan Croatia-Slovenia.
POLIS menghalang pendatang memanjat halangan di Rigonce di sempadan Croatia-Slovenia.
POLIS menghalang pendatang memanjat halangan di Rigonce di sempadan Croatia-Slovenia.
POLIS menghalang pendatang memanjat halangan di Rigonce di sempadan Croatia-Slovenia.

Ribuan pendatang terkandas di barat wilayah Balkan kelmarin selepas Croatia, Hungary dan Slovenia bergelut menangani krisis pelarian.

Kekecohan, khabar angin dan sekatan yang dikuatkuasakan memaksa perjalanan ribuan pendatang yang terdesak melarikan diri daripada peperangan dan kemiskinan untuk menjejaki utara Eropah terhenti.

Dalam perkembangan terbaru, Hungary berkata, ia sudah menyiapkan pagar di garisan sempadan keduanya bagi menghalang kemasukan pendatang haram.

Pagar sempadan sepanjang 41 kilometer dengan Croatia, rakan negara itu dalam Kesatuan Eropah (EU), disiapkan kelmarin, kata jurucakap Kementerian Pertahanan Attila Kovacs di Budapest.

Baki 330 kilometer sempadan merentas sepanjang Sungai Drava yang sukar diseberangi.

Pagar kawat berduri baru itu adalah tambahan kepada pagar yang dibinanya sepanjang sempadan dengan Serbia.

Di samping itu, Hungary turut menguatkuasakan undang-undang mengancam menangkap dan memenjarakan pendatang yang memasuki negara itu secara haram.

Langkah itu mengundang kecaman masyarakat antarabangsa dan memaksa pendatang menuju ke Croatia. Tetapi, Jumaat lalu, Croatia menarik balik dasar terbuka dan mengarahkan pendatang itu pulang semula ke sempadan Hungary dengan alasan, ia tidak lagi mampu menampung atau menguruskan lebih ramai pelarian.

Ribuan pendatang menyeberang dari Croatia ke Hungary sebelum bahagian terakhir pagar itu disiapkan, kata Budapest.

Perdana Menteri Croatia Zoran Milanovic berkata, kerajaannya akan meneruskan dasar menghantar semula pelarian ke Hungary.

Di sempadan Croatia dengan Slovenia, sebuah lagi negara anggota EU, ratusan pendatang tidur di tempat terbuka di lintasan sempadan Bregna.

Di Harmica pula, puluhan pendatang berdepan dengan polis antirusuhan di sebuah jambatan yang menghubungkan Croatia dengan Slovenia, mendesak polis Slovenia itu membenarkan mereka memasuki negara berkenaan.

Jumaat lalu, polis menggunakan gas pemedih mata untuk memaksa ratusan pendatang, sebahagian bersama-sama anak, berundur.

Kejadian berlaku sejurus selepas Perdana Menteri Slovenia Miro Cerar berkata, negara kecil itu mungkin mewujudkan ‘koridor’ untuk pelarian ke utara Eropah sekiranya mereka terus tiba dalam jumlah yang besar.

Kesatuan Eropah sudah menerima hampir suku juta pencari suaka dalam tempoh tiga bulan dari Mac hingga Jun lalu.

Bagaimanapun, sehingga sekarang belum ada tanda-tanda kedatangan pelarian itu akan berhenti.

Menurut Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (OIM), hampir 474,000 orang, pelarian dari Syria, Iraq dan Afghanistan bergadai nyawa menyeberang Laut Mediterranean untuk ke Eropah tahun ini. Sebahagiannya hilang atau mati lemas dalam pelayaran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2015 @ 5:01 AM