Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid (tengah) berbual dengan penduduk kampung ketika majlis korban di Kampong Mani, Kuala Nerang, Kedah. - Foto SHARUL HAFIZ ZAM
Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid (tengah) berbual dengan penduduk kampung ketika majlis korban di Kampong Mani, Kuala Nerang, Kedah. - Foto SHARUL HAFIZ ZAM
Keadaan jerebu di sebuah taman perumahan di Johor Bahru hari ini, dengan bacaan IPU mencatatkan 183. - Foto HAIRUL ANUAR RAHIM
Keadaan jerebu di sebuah taman perumahan di Johor Bahru hari ini, dengan bacaan IPU mencatatkan 183. - Foto HAIRUL ANUAR RAHIM

Kuala Nerang: Kementerian Pendidikan akan memantau keadaan jerebu di Johor sehingga 4 petang esok sebelum membuat keputusan sama ada sekolah di negeri itu ditutup atau tidak.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata keputusan sama ada sekolah di Johor ditutup atau tidak pada Ahad akan diumumkan oleh Kementerian Pendidikan 5 petang esok.

"Kami (kementerian) akan pantau sehingga petang esok. Jikalau paras Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Johor tidak turun, kami akan minta Jabatan Pendidikan Johor menutup sekolah di negeri itu.

"Jikalau paras IPU di negeri Johor mulai menurun, kami tidak akan menutup (sekolah)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis korban sempena Aidiladha di Kampung Mani di sini, hari ini.

Menurut Mahdzir yang juga anggota Parlimen Padang Terap, kementeriannya juga akan memantau keadaan jerebu di Melaka dan Negeri Sembilan berikutan

kedudukannya berhampiran dengan Johor.

Mahdzir berkata sekolah di Negeri Sembilan dan Melaka akan memulakan persekolahan pada Isnin, berbanding murid di Johor yang akan kembali bersekolah Ahad ini.

Keadaan jerebu di beberapa bahagian di Johor semakin buruk dengan tahap IPU di Pasir Gudang sebagaimana dilaporkan portal Jabatan Alam Sekitar (JAS)

sehingga 2 petang ini mencecah kategori tidak sihat pada 182, Kota Tinggi (124) dan Larkin Lama (177). - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2015 @ 6:09 PM