KEADAAN jerebu di sekitar Shah Alam telah mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 308 iaitu pada paras bahaya pada 9 pagi. FOTO Shazreen Zamzuri
KEADAAN jerebu di sekitar Shah Alam telah mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 308 iaitu pada paras bahaya pada 9 pagi. FOTO Shazreen Zamzuri
Oleh Norul Awatif Romli


Alor Setar: Kementerian Pendidikan mengarahkan semua sesi persekolahan di seluruh negara kecuali di Kelantan, Sabah, Sarawak dan Labuan ditutup selama dua hari mulai esok berikutan peningkatan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dilihat semakin membimbangkan.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid bagaimanapun berkata, penutupan itu tidak perlu diganti semula termasuk arahan penutupan sebelum ini berikutan ia adalah arahan daripada pihak kementerian.

Katanya, peperiksaan utama membabitkan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) juga tidak akan ditangguhkan jika tahap bacaan IPU masih berada dalam keadaan sebegini, namun semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan diarahkan untuk membekalkan topeng kepada calon peperiksaan sebagai langkah berjaga-jaga.

"Bagaimanapun, jika keadaan jerebu sampai ke tahap perlu diisytiharkan darurat oleh kerajaan kita akan umum penangguhan peperiksaan dan pada masa sama pegawai di kementerian juga diarahkan supaya memantau bacaan IPU setiap jam di empat negeri yang tidak diarahkan tutup... dan jika perubahan mendadak berlaku di negeri ini kes sama akan diberikan kepada mereka.

"Kita juga bersetuju dengan pengurusan dan pentadbiran sekolah turut ditutup mulai esok selama dua hari... bermaksud semua sekali termasuk murid pra sekolah, guru dan kakitangan sekolah tidak perlu datang ke sekolah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2015 @ 1:04 PM