ANTARA baju tenun rekaannya.
ANTARA baju tenun rekaannya.
BERSAMA koleksi baju tenun rekaannya.
BERSAMA koleksi baju tenun rekaannya.
KOLEKSI baju tenun di butik miliknya.
KOLEKSI baju tenun di butik miliknya.
TEMPAT menjahit baju-baju dihasilkan Farah.
TEMPAT menjahit baju-baju dihasilkan Farah.
MEMBETULKAN pakaian jenamanya yang digayakan seorang model.
MEMBETULKAN pakaian jenamanya yang digayakan seorang model.
FARAH ketika ditemui di butiknya di Sungai Penchala.
FARAH ketika ditemui di butiknya di Sungai Penchala.

FATIN FARHANA JAPRE bangga dengan seorang gadis muda yang berjaya membuka sebuah butik dan melancarkan pakaian jenamanya sendiri, baru-baru ini.

Farah Nabila Mohd Salleh (Farah), 25, berjaya merealisasikan impiannya untuk bergelar pereka fesyen pada usia muda. Walaupun terpaksa bersaing dengan pereka lain, dia langsung tidak gentar untuk terus bertapak dalam dunia fesyen di Malaysia.

Menurut anak kelahiran Selangor ini, minatnya terhadap bidang fesyen disedari sejak kecil. Masa lapangnya banyak dihabiskan dengan melukis dan mereka bentuk pakaian untuk anak patungnya. Namun, pada usia 18 tahun minatnya untuk menyambung pengajian dalam bidang fesyen mendapat tentangan ibu bapanya.

“Selama dua tahun saya turutkan kehendak ayah untuk sambung pengajian dalam bidang perakaunan di sebuah kolej swasta. Apabila mahu sambung pengajian di peringkat ijazah, ayah memberi peluang sama ada hendak sambung dalam bidang perakaunan atau rekaan fesyen. Jadi, saya pilih sambung pengajian dalam bidang rekaan fesyen di Kolej Raffles Design, Ampang Kuala Lumpur.

“Saya menikmati pengajian selama dua setengah tahun dengan perasaan gembira. Banyak ilmu fesyen yang saya pelajari seperti cara mereka bentuk pakaian dan menggunting kain yang betul. Saya masih ingat semasa majlis konvokesyen, pakaian rekaan saya diperagakan model di khalayak ramai. Ketika itu, saya rasa sangat berpuas hati kerana berjaya buktikan kepada ibu bapa ini bidang yang sesuai dengan jiwa saya,” katanya.

Menurutnya lagi, sesudah tamat latihan industri di sebuah butik pereka fesyen terkenal di ibu negara, dia mendapat sokongan ahli keluarga untuk membuka sebuah butik miliknya sendiri. Ini bagi memperluaskan lagi bakatnya dalam bidang rekaan fesyen.

“Bermodalkan duit simpanan sendiri dan sedikit bantuan daripada keluarga sebanyak RM20,000, saya akhirnya berjaya membuka butik Farah Salleh di kawasan restoran kepunyaan ayah di Restoran Subak, Sungai Penchala, Kuala Lumpur sejak empat bulan yang lalu.

“Sedikit sebanyak saya rasa tercabar dari segi mengendalikan perniagaan kerana saya tidak mempunyai pengalaman dalam bidang itu. Saya bernasib baik kerana ayah banyak membantu dan memberi ilmu dari segi bisnes untuk membangunkan perniagaan ini. Oleh itu, saya lebih yakin untuk mengeluarkan pakaian jenama sendiri,” katanya.

Semua pakaian keluarannya pula berkonsepkan tenun (ready-to-wear) menjadikan ia berbeza daripada pakaian yang sedia ada di pasaran. Pakaian keluarannya juga dijahit oleh tukang jahitnya sendiri. Farah mendapat inspirasi daripada pereka fesyen luar negara untuk mengetengahkan konsep tenun ini di Malaysia.

“Saya lebih suka reka bentuk pakaian yang ringkas, tetapi tampak elegan. Kebiasaannya, setiap reka bentuk pakaian yang saya lukis mengambil masa tiga hari sebelum dihantar kepada tukang jahit untuk ditenun. Saya gemar meneroka jenis kain tenun dari Indonesia bagi memilih kualiti kain yang terbaik untuk pelanggan. Warna fabrik pula saya gemar memilih warna pastel untuk mengekalkan ciri elegan kepada si pemakai,” katanya.

Setakat ini, di butik Farah terdapat kira-kira 40 pasang pakaian jenis tenun apabila setiap satu reka bentuk yang dikeluarkannya adalah terhad. Ia amat sesuai bagi penggemar fesyen yang sukakan kelainan tidak kira formal atau kasual dan khas untuk mereka yang bersaiz kecil (free size). Setiap bulan juga Farah ada memuat naik keluaran pakaian terbarunya di Instagram (@farahsalleh.kl).

“Tahun lalu, saya menaja pakaian keluaran saya untuk sesi penggambaran pelakon terkenal, Maya Karin dengan Berita Harian. Impian saya tercapai juga sebab memang berhasrat Maya Karin memperagakan pakaian keluaran saya suatu masa dulu. Justeru, saya berharap pelancaran pakaian keluaran saya iaitu Farah Salleh akan dikenali dan digemari penggemar fesyen tidak kira usia terutama remaja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2015 @ 8:45 AM