SARIZAH dinobatkan juara dalam Uitm Degree Fashion Show 2023.
SARIZAH dinobatkan juara dalam Uitm Degree Fashion Show 2023.
Hafiz Ithnin


"Saya tidak pernah pasang impian menjadi pereka fesyen. Namun jika tidak kenal, kita tidak akan jatuh cinta," jelas gadis berusia 30 tahun itu kepada penulis.

Membuka cerita, anak kelahiran Pahang ini sebenarnya sebaik sahaja tamat tingkatan lima, dia berhasrat melanjutkan pengajian di dalam jurusan perhutanan atau landskap, tetapi tidak mendapat sokongan keluarga kerana merasakan kerjaya berkenaan tidak sesuai dengan dirinya sebagai seorang wanita.

Hanya dua pilihan diberi iaitu mengambil kursus jahitan atau pendidikan awal kanak-kanak. Akhirnya beliau bersetuju mengambil kursus di dalam bidang jahitan sehingga ke peringkat Sarjana Muda Seni Reka Fesyen (Kepujian) di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Ternyata, jurusan itu kena dengan jiwanya apabila baru-baru ini dia dinobat sebagai pemenang di dalam UiTM Degree Fashion Show 2023 bertemakan Fashion Reinvention.

Di dalam pertandingan itu, Sarifah Sariza Md Bahari menewaskan 54 pereka muda atau pelajar tahun akhir, Sarjana Muda Seni Reka Fesyen (Kepujian), UiTM Shah Alam yang mempersembahkan koleksi pakaian pelbagai genre, inspirasi dan kategori di dalam UiTM Degree Fashion Show kali ini.

Setiap pereka menghasilkan tiga set rekaan lengkap dengan padanan aksesori. Jumlah keseluruhan rekaan diperagakan 165 set.

Beliau yang lebih mesra disapa Sariza berkata, menerusi tiga rekaan kapsul itu dia mengangkat inspirasi daripada cendawan Turkey Tail yang begitu terkenal sebagai bahan rawatan untuk barah.

Katanya, Turkey Tail Mushroom atau dikenali sebagai Cendawan Ekor Turki sangat sinonim dengan perubatan moden. Ia digunakan sebagai sumber terapi sokongan dalam rawatan kanser payudara, kanser paru-paru, pankreas, gastrik dan hati. Tumbuhan ini bnyak didapati di Eropah, Asia dan Amerika Utara.

"Bertemakan Fashion Reinvention, From Traditional to Innovation pereka perlu mencipta rekaan yang memberikan satu pembaharuan dalam koleksi rekaan mereka.

"Berinspirasikan Turkey Tail Mushroom dalam koleksi pakaian ini, saya mengetengahkan elemen bentuk cendawan yang unik dan juga rona warna warni yg dihasilkan oleh cendawan ini secara semula jadi," katanya.

Katanya, selain itu, dalam koleksi itu, dia ingin masyarakat sedar mengenai kewujudan dan juga kelebihan berkenaan cendawan ini dalam bidang perubatan.

"Pilihan warna berdasarkan warna-warna erhasil dari cendawan itu sendiri secara semula jadi. Saya mengeksperimentasi setiap warna dan tona yang terdapat pada inspirasi ini.

"Jika diteliti secara halus, ada enam elemen warna seperti biru gelap, coklat gelap, kelabu, krim, mustard dan juga biru cair membentuk gradien warna pada cendawan ini. Maka saya olah warna-warna berkenaan dan aplikasikan dalam koleksi rekaan ini," katanya.

Tambahnya, bentuk bebayang digunakan dari bentuk cendawan itu sendiri dan ditransformasi ke dalam rekaan yang mana membentuk koleksi rekaan yang 'oversized.'

"Selain itu, untuk menampakkan koleksi rekaan lebih mewah, saya plikasikan teknik 'pleating' dan 'gathering' pada keenam-enam kain nett keras itu.

"Malah, setiap warna itu diletakkan secara berlapis supaya memberikan tona warna yang elegen serta moden. Selain itu, kain scuba biru juga digunakan sebagai dasar untuk menampung kain net keras yang sudah dijadikan 'pleat' dan 'gathers, "katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2023 @ 6:45 AM