HANYA produk fesyen yang mempunyai identiti tersendiri dan berkualiti dipilih.
HANYA produk fesyen yang mempunyai identiti tersendiri dan berkualiti dipilih.
ANTARA produk lain yang ada di butik.
ANTARA produk lain yang ada di butik.
Faizatul Farlin Farush Khan

Mahu menawarkan pengalaman beli-belah lebih konvensional kepada pelanggan, selain membuka peluang kepada pengusaha tempatan bertapak di pusat beli-belah berprestij mendorong Shafiza Rahman, 34, dan Wawa Hashim, 28, menubuhkan butik Pret-A-Porter.

Baru bertapak sejak Mei lalu, pengalaman Shafiza dan Wawa memulakan perniagaan dalam dunia fesyen, berbeza daripada pengusaha lain yang kebanyakannya bermula dengan perniagaan dalam talian sebelum mengembangkannya kepada butik fizikal.

Mahu tampil unik berbanding butik vendor lain yang ada di pasaran ketika ini, Pret-A-Porter menawarkan 51 jenama eksklusif daripada pengusaha fesyen tempatan dan luar negara termasuk dari Amerika Syarikat, Kanada dan Singapura.

Lebih menarik, Shafiza yang pernah bergelar peguam selama lima tahun sebelum meninggalkan kerjaya untuk mengejar minatnya dalam bidang fesyen dan rekaan dalaman, turut bekerjasama dengan suami yang menjalankan perniagaan dalam bidang pembinaan untuk membuat rekaan dan susun atur butik berkenaan.

Katanya, selain minat dalam dunia fesyen, dia yang turut memiliki perniagaan rekaan dalaman, mengambil keputusan meninggalkan kerjaya sebaik menyambut anak kedua disebabkan kekangan masa ketika masih bergelar peguam.

“Selepas memikirkan secara mendalam, saya buat keputusan memilih bidang perniagaan dan ini pembabitan pertama saya dalam dunia fesyen bersama empat lagi rakan kongsi lain termasuk Wawa .

“Saya memilih membuka butik apabila melihat industri fesyen di negara ini semakin berkembang dan saya menyambar peluang yang ada kerana dapat melihat potensi perniagaan ini untuk pergi lebih jauh,” katanya ketika ditemui baru-baru ini di butik itu di G Village, Desa Pandan, Kuala Lumpur.

Menurut Shafiza, berbeza dengan perniagaan dalam talian, butik fizikal itu ditubuhkan kerana mahu membawa pelanggan kembali menikmati pembelian secara tradisi selain memberi peluang kepada mereka merasa sendiri kualiti kain, melihat warnanya yang sebenar dan menyarung untuk melihat saiz tepat.

Katanya, jika melalui dalam talian, warna mungkin sedikit berbeza kerana ada kesan pencahayaan selain pelang­gan tidak dapat merasa sendiri kain sama ada benar-benar selesa atau tidak.

“Kami memang fokus kepada butik fizikal kerana berdasarkan pengalaman saya sendiri ketika membeli-belah, saya mesti meneliti kain itu dan menyarung sendiri baju untuk melihat kesesuaiannya dengan saiz badan.

“Memang pernah banyak kali membeli, kita rasa tidak sesuai pula, biarpun masa melihat model memakainya nampak cantik.

“Ini kerana badan kita semuanya berbeza dan bukan semua memiliki badan seperti model. Mungkin pakaian itu nampak cantik pada model tapi tidak sesuai dengan tubuh kita.

“Jadi jika kita dapat mencuba sendiri sebelum membeli, kita akan rasa lebih puas hati dan pembelian akan dirasakan lebih berbaloi,” katanya.

Shafiza berkata, antara sebab penubuhan butik itu juga bagi membuka peluang kepada pengusaha tempatan yang menghasilkan rekaan eksklusif untuk duduk sebaris dengan produk antarabangsa di pusat beli-belah besar.

Katanya, ketika ini pengusaha tempatan sukar memasuki pusat beli-belah terutama yang mempunyai prestij tersendiri dan perkara itu yang ingin diubahnya dengan cara menubuhkan butik berkenaan.

Menyasarkan golongan wanita berkerjaya yang memiliki kuasa membeli, katanya, misi butik itu adalah membina reputasi dan membawa pereka tempatan maju setapak lagi dalam dunia fesyen.

Malah katanya, penubuhan Pret-A-Porter turut menarik perhatian pereka pakaian Muslimah terkenal dari luar negara yang bersetuju untuk memasarkan produk mereka di negara ini dan rekaan mereka hanya boleh didapati secara eksklusif di butik itu.

Antara pakaian yang ditawarkan daripada material mewah, kasual, sut, gaun koktel, pakaian harian premium, hijab, pakaian kanak-kanak, jubah serta pilihan pakaian untuk lelaki.

Butik yang berkeluasan hampir 7,000 kaki persegi itu menawarkan ruang yang luas dan selesa untuk pelanggan melihat dan mencuba sendiri pakaian, malah koleksi turut dipaparkan di laman Instagram/pretaporter_my dan Facebook/pretaporter_my.

Tarik pereka luar negara

Sementara itu, Wawa yang pernah bertugas sebagai jururawat berkata, idea asal menghasilkan butik itu timbul secara spontan kerana minatnya dalam berfesyen seterusnya ia direalisasikan melalui gabungan lima rakan kongsi.

Kata ibu seorang anak itu, selepas mereka berlima berbincang mengenai konsep perniagaan dan kaedah untuk menarik pengusaha fesyen Muslimah luar negara untuk bekerjasama, lalu Pret-A-Porter diwujud­kan dan dilancarkan secara rasmi pada 4 Mei lalu.

“Minat berniaga memang ada dalam diri saya dan beruntung kerana mendapat sokongan kuat daripada suami yang sentiasa berfikiran positif.

“Sebelum terbabit dengan fesyen, saya juga aktif berniaga secara kecil-kecilan menjual minyak wangi, pakaian dan tudung, selain lebih yakin kerana ayah juga mempunyai perniagaan sendiri.

“Di butik ini, kami menawarkan bukan saja fesyen Muslimah tetapi semua jenis gaya untuk mereka yang suka bergaya.

“Kami tidak hanya fokus kepada satu jenis fesyen tetapi beri pilihan kepada pelanggan mengikut cita rasa berbeza, dengan koleksi moden dan terkini,” katanya.

Menurut Wawa, antara cara untuk menarik pengusaha fesyen dari luar negara adalah menghantar kertas cadangan kepada mereka manakala segala perbincangan dilakukan melalui Skype, sebelum mencapai persetujuan dan bertemu.

Pada peringkat awal memang mengambil masa untuk mendapat kepercayaan tetapi selepas pembentangan dan perbincangan yang diadakan, konsep ingin ditampilkan butik itu menarik perhatian pengusaha luar yang gembira untuk bekerjasama, apatah lagi ada antaranya kali pertama berkunjung ke negara ini.

“Kami juga memilih jenama yang menawarkan koleksi berkualiti dengan fesyen tersendiri, bukan sekadar menerima saja pengusaha yang berminat kerana kami tidak mahu sama seperti apa yang ada di luar,” katanya.

Wawa juga akui pembahagian masa amat penting terutama kepada golongan ibu yang bekerja supaya dapat menghabiskan masa dengan anak tetapi tetap meneruskan minat masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Jun 2016 @ 1:29 PM